Isu pintas pesawat akan diselesaikan secara diplomasi - Hishammuddin

Hakim Rahman
Jun 28, 2016 15:50 MYT
HISHAMMUDDIN: Ryamizad turut menyatakan komitmen untuk meneliti isu ini secara serius dan sedia mengambil tindakan diperlukan.
Insiden pesawat Charlie C130 milik kerajaan Malaysia yang dipintas dua jet pejuang Indonesia akan diselesaikan segera menerusi saluran diplomasi.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata pihaknya sudah menghubungi rakan sejawatannya di Indonesia, Ryamizard Ryacudu dan mengadakan dua perbincangan bersama.
"Dalam perbincangan berkenaan, Ryamizard menyatakan bahawa tiada isu yang tidak mampu diselesaikan antara kedua-dua negara, termasuk dalam isu ketenteraan. Ia adalah berkat hubungan baik antara Ryamizard dan saya.
"Ryamizad turut menyatakan komitmen untuk meneliti isu ini secara serius dan sedia mengambil tindakan diperlukan, selain kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan isu ini dengan segera tanpa menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia," katanya.
Menurutnya lagi, isu berkenaan akan turut dibincangkan dalam mesyuarat trilateral bersama Filipina dan Indonesia di Jakarta bulan depan agar kejadian sama tidak berulang.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Marker November dan Markas Taktikal 749 Kem Sri Banding, pada Isnin.
Ahad lalu, pesawat Charlie C130 milik Kerajaan Malaysia dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang ke Labuan dilapor dipintas dua jet pejuang Kerajaan Indonesia ketika berada di laluan berhampiran Pulau Natuna, Indonesia.
Terdahulu, Hishammuddin dalam kenyataanya berkata pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak dipintas oleh jet pejuang Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara pada Sabtu lalu.
"Dua jet pejuang F-16 tentera udara Indonesia itu hanya membuat identifikasi visual ke atas pesawat MEGA 207 TUDM itu," katanya dalam kenyataan.
Menurut Hishammuddin, mengikut perjanjian antara Malaysia dan Indonesia, Malaysia mempunyai hak melakukan "penerbangan berterusan, cepat dan cekap dan tanpa halangan" di ruang udara itu.
Begitupun, media Indonesia pada awalnya memetik kenyataan pegawai tentera republik itu yang menyebut kejadian sebagai 'pesawat Indonesia mengusir pesawat Malaysia kerana melanggar wilayah Indonesia di kawasan Pulau Natuna'.
#Charlie C130 #Hishammuddin Hussein #pesawat tentera dipintas #Pulau Natuna #Ryamizard Riacudu
;