Isu pinjaman PTPTN perlu dilarang daripada menjadi manifesto PRU
Muzaffar Syah Mallow
Disember 3, 2018 10:37 MYT
Disember 3, 2018 10:37 MYT
SATU langkah yang lebih drastik atau ekstrem perlu dipertimbangkan oleh pihak kerajaan supaya isu yang berkaitan dengan pinjaman pendidikan ini tidak terus menjadi permainan politik oleh mana-mana pihak dalam negara khusus dalam kalangan ahli politik serta parti politik pada masa akan datang dalam negara kita.
Pindaan boleh dilakukan ke atas mana-mana peruntukan sedia ada dalam negara kita seperti Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5) dengan menjadi isu ini sebagai salah satu kesalahan pilihan raya dan melarang mana-mana pihak untuk terus mengunakan isu pinjaman pendidikan sebagai modal politik mereka untuk meraih undi.
Dengan adanya peruntukan khusus mengenai perkara ini, mana-mana ahli politik atau parti politik tidak lagi boleh menjadikan isu pinjaman pendidikan ini sebagai bahan kempen politik setiap kali tibanya musim pilihan raya.
Sekiranya peruntukkan khusus ini wujud, mana-mana ahli politik atau parti politik tidak boleh lagi meletakkan isu pinjaman pendidikan dalam manifesto politik pilihan raya mereka.
Sekiranya mereka masih berdegil berbuat demikian, ahli politik serta parti politik berkenaan boleh dikenakan denda atau sebarang hukuman yang berat.
Isu pendidikan khususnya yang berkaitan dengan pinjaman pendidikan Perbabadan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa mendapat tempat dalam negara kita semenjak ianya ditubuhkan lebih 20 tahun yang lalu.
Baru-baru ini juga Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri melahirkan rasa kekecewaannya terhadap isu pinjaman PTPTN yang tidak dibayar balik ini.
Menurut beliau, sikap tidak amanah peminjam menjadi punca jumlah tunggakan hutang bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjangkau sehingga RM36 bilion.
Dr. Mahathir juga berkata, kebanyakan daripada peminjam telah mempunyai pekerjaan dan memperoleh pendapatan sendiri namun masih belum mahu membayar hutang PTPTN.
Walaupun begitu, kita juga harus ketahui kenapa sesetengah peminjam begitu liat untuk membayar balik pinjaman mereka, selain daripada isu integriti dan sikap tidak amanah seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, para peminjam ini juga menjadi keliru dengan isu pinjaman pendidikan yang sering dijadikan bahan, modal, kempen politik lebih-lebih lagi sewaktu tibanya musim pilihan raya.
Sudah menjadi fitrah setiap manusia untuk mengharapkan kesenangan dan kemudahan dalam hidup mereka. Ini termasuklah dengan isu pinjaman pendidikan yang dimiliki.
Ada dalam kalangan peminjam yang sanggup menunggu ahli politik untuk membuat janji manis untuk mengurangkan atau memansuhkan terus pinjaman yang telah mereka buat supaya para peminjam tidak perlu membayar balik pinjaman yang telah mereka buat.
Sikap sesetengan ahli politik sebegini sekali gus telah menyebabkan peminjam mengambil isu bayaran balik pinjaman mereka dengan mudah serta sambil lewa kerana sering mengharapkan berita baik terhadap pinjaman yang telah mereka buat.
Isu pinjaman pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan lagi dalam negara kita kerana ia melibatkan masa depan diri peminjam itu sendiri serta bakal peminjam yang lain.
Setiap peminjam yang rata-ratanya terdiri daripada generasi muda ini perlu dilatih dari peringkat awal untuk lebih berdisplin dalam soal pengurusan kewangan serta pembayaran balik hutang pendidikan yang dimiliki oleh mereka.
* Dr Muzaffar Syah merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI