Isu pindaan Akta Perhimpunan Aman, pelabur asing tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Bernama
Februari 13, 2025 08:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kesediaan kerajaan meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman tanpa perlu memohon kebenaran pihak berkaitan, antara yang bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) akan bertanyakan perkara itu kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus persidangan bermula pada 10 pagi.
Pada sesi sama, Perdana Menteri turut dijadualkan menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) tentang punca banyak pelabur asing menjual pegangan saham mereka di dalam negara bagi tempoh kebelakangan ini.
Turut menarik perhatian, soalan berhubung usaha membanteras aktiviti judi dalam talian yang semakin berleluasa termasuk usaha pemantauan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan Internet serta platform digital.
Perkara itu akan dibangkitkan Kapten Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) kepada Menteri Komunikasi pada sesi soal jawab lisan.
Usai sesi soal jawab, sidang Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Di luar persidangan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dijadualkan mengadakan sidang media khas penyelarasan harga padi dan beras pada 12.30 tengah hari.
Kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi berserta subsidi tambahan bagi mengimbangi kesan kepada pengguna terutama melibatkan harga beras.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #Parlimen #Akta Perhimpunan Aman 2012 #penyelarasan harga padi dan beras
;