Isu peruntukan pembangkang hangatkan sidang DUN Pahang
Bernama
Mei 9, 2023 20:42 MYT
Mei 9, 2023 20:42 MYT
KUANTAN: Isu pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang menghangatkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini hari ini, apabila beberapa wakil pembangkang dan kerajaan saling mempertahankan pendapat mereka.
Isu peruntukan itu mula dibangkitkan oleh hampir semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul menjunjung titah diraja Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sebelah pagi, sebelum 'memuncak' pada sidang petang.
Ia bermula apabila ADUN Jengka Shahril Azman Abd Halim semasa berbahas mendakwa kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PAS memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, menyebabkan terdapat kewajaran untuk kerajaan Pahang berbuat perkara yang sama.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak bangun mencelah menyatakan tidak setuju dengan kenyataan itu dan meminta supaya Shahril Azman menyatakan jumlah yang diberikan kepada pembangkang di negeri berkenaan.
Turut mencelah, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyokong kenyataan Mohd Shoffi, namun dinafikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata beliau sudah menyemak perkara itu dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan mengesahkan peruntukan itu ada diberikan.
Tuan Ibrahim berkata maklumat diterima beliau adalah 'bagi 2023 dan semakan baru dibuat seminit yang lepas' dan Shahril Azman menyokong perkara itu sambil menyatakan Tuan Ibrahim selaku Timbalan Presiden PAS memang sentiasa berhubung dengan pimpinan negeri di bawah PAS.
Apabila isu tiada peruntukan diberikan kepada wakil rakyat pembangkang di negeri yang tidak dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) pada masa dahulu, Tuan Ibrahim dengan tenang menyatakan persetujuan kepada kenyataan tersebut.
"Dahulu waktu saya pembangkang tahun 1999 sebagai ADUN Jengka, tiada peruntukan. Tapi kita tutup buku lama dan buka buku baharu. Saya fikir era itu sudah berlalu dan era ini kita sama-sama membina negeri Pahang yang lebih baik," katanya.
Selepas beberapa minit, Wan Rosdy sekali lagi bangun mencelah untuk mempertahankan kenyataan wakil kerajaan negeri kerana mendakwa semakan pegawai beliau dengan wakil rakyat UMNO di Kelantan iaitu Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad yang merupakan ADUN Kok Lanas, mendapati peruntukan belum diberi walaupun ura-ura berbuat demikian ada.
"Saya juga sahkan dengan Pejabat Kewangan Pahang yang bertanya kepada Pejabat Kewangan Kelantan (yang) mengesahkan tiada peruntukan disalurkan kepada (wakil rayat) pembangkang hingga hari ini," katanya.
Walaupun terdapat beberapa lagi 'percubaan' wakil kerajaan dan pembangkang untuk menegakkan pendirian mereka, ia akhirnya dileraikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Lee Chin Chen yang mengingatkan semua wakil rakyat untuk menghormati masa memandangkan ia sudah berlarutan lama.
-- BERNAMA