Isu perumahan di Rompin: Bekalan elektrik sudah disalur sejak Disember lalu - TNB

Nickyson Nyambar
Februari 20, 2023 21:14 MYT
Penduduk mendakwa mereka dijanjikan menerima kunci rumah dalam tempoh 24 bulan selepas perjanjian jual beli (S&P) dibuat pada Ogos 2019. Bagaimanapun tidak ditunaikan pemaju. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR : Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil memberi kenyataan berkenaan isu perumahan di Sungai Puteri, Rompin yang belum diselesaikan oleh pihak pemaju untuk diserahkan kepada pemilik rumah.
TNB dalam kenyataan pada Isnin menangkis dakwaan bahawa salah satu punca kelewatan penyerahan rumah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kepada penduduk adalah berpunca daripada masalah di peringkat TNB.
"Hasil semakan lanjut, bekalan elektrik sebenarnya telah mula disalurkan ke kawasan perumahan tersebut pada 20 Disember 2022 lalu.
"Bagi urusan pemasangan meter dan bekalan ke setiap unit kediaman, para pembeli rumah dinasihatkan untuk berurusan dengan TNB setelah pemaju menyerahkan kunci masing-masing," kata Pengurus Besar Negeri Pahang Jabatan Hubungan Strategik TNB, Datuk Baderul Sham Saad.
Beliau turut berharap agar masalah yang dihadapi pembeli dapat segera diselesaikan bersama pihak pemaju.
Terdahulu, media melaporkan, lebih 130 pembeli rumah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Sungai Puteri, Rompin mendakwa belum menerima kunci rumah yang dijanjikan untuk diduduki 24 bulan selepas perjanjian jual beli (S&P) dibuat pada Ogos 2019.
Bagaimanapun sehingga kini, pihak pemaju masih gagal menyerahkan unit kediaman di taman perumahan itu kepada penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Toiman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain dilapor memaklumkan Majlis Daerah Rompin akan mengeluarkan kelulusan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) dalam tempoh dua minggu lagi.
Ditanya mengenai punca kelewatan projek perumahan itu, Mohd Johari berkata salah satu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perubahan pelan saluran pembetungan dan masalah dengan Tenaga Nasional Berhad.
#TNB #isu perumahan #Rompin #PR1MA
;