Isu perumahan dan penempatan di Sarawak tidak akan terpinggir - Zuraida

Rohana Wahed
Jun 21, 2018 15:32 MYT
Zuraidah berkata Sarawak adalah rumah kedua baginya dan bukan masalah besar bagi beliau meneruskan kerjasama sedia ada. Gambar Astro AWANI.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Hajah Zuraida Kamaruddin memberi jaminan bekerjasama penuh dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak berhubung isu pembangunan serta penempatan di negeri itu.
Menurutnya, Sarawak adalah rumah kedua baginya dan bukan masalah besar bagi beliau meneruskan kerjasama sedia ada.
"Sarawak rumah kedua saya, walaupun ada sekatan masuk sebelum ini, ia tidak menutup hasrat saya membantu rakyat negeri ini," katanya ketika menghadiri taklinat khas di Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di sini, hari ini.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Sim Khui Hian bersama beberapa menteri muda serta wakil rakyat yang lain.
Zuraida pada majlis yang sama juga meluluskan 27 rumah di bawah Program Penempatan Pembasmian Kemiskinan bagi kawasan MPP.
Jelasnya, walaupun kerajaan sedang dalam usaha memulihkan masalah kewangan negara, ia tidak sama sekali meminggirkan pembangunan rakyat.
"Kita turut mengkaji isu perumahan dan penempatan di negeri Sarawak selaras usaha kerajaan baharu membawa hala tuju isu perumahan negara ke arah lebih sistematik dan mampu milik " katanya.
Beliau yang dilantik sebagai menteri kabinet selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Persekutuan, menegaskan Sarawak tidak akan terkecuali daripada perancangan tersebut.
“Sebagai menteri baharu, saya ingin membawa hala tuju baru kepada sektor perumahan.
“Terutama melibatkan perumahan kos rendah dan Sarawak tidak terkecuali apabila dasar baharu dilaksanakan,” katanya.
Mengulas lanjut, antara pelan awalnya ialah menjadikan perumahan kos rendah dengan persekitaran kondusif, sekali gus memanfaatkan keadaan hidup bagi kelompok isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Kini, beliau dalam rangka lawatan sehari di Sarawak buat kali pertama selepas menggalas tugas sebagai menteri kabinet Kerajaan Pusat.
Sebelum ini, Ketua Wanita PKR itu disekat dari masuk ke Sarawak sejak tahun 2013.
#kerajaan #Malaysia #menteri Kabinet #Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan #Padawan #PKR #rumah #Sarawak #Zuraidah Kamaruddin
;