Isu Perkasa: Sila tanya Tun M sendiri - Tok Him

Astro Awani
Januari 19, 2015 12:02 MYT
TOK HIM: Sila tanya Tun M sendiri - Gambar fail
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menafikan sekeras-kerasnya laporan daripada sumber sebuah portal yang menyatakan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah lagi tidak 'sebulu' dengan mereka.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, sumber itu boleh dikategori cuba memecah-belahkan hubungan baiknya dengan Dr Mahathir selain memburukkan Perkasa sendiri.
"Kenapa hendak percaya. Siapa sumber jahat itu, barua...dari dahulu hendak burukkan Perkasa.
"Portal itu hendak cari orang ke web mereka tetapi caranya tidak betul, kalau berani pergi tanya Dr Mahathir sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ibrahim mengulas kenyataan sumber portal Themalaysianinsider yang menyifatkan Dr Mahathir telah membawa haluan sendiri dan tidak mahu lagi dikaitkan dengan Perkasa.
Sumber itu turut menyatakan, Dr Mahathir tidak berpuas hati dengan cara kumpulan memperjuangkan hak Melayu itu mengendalikan serta mencetuskan isu berkaitan sensitiviti kaum.
Jelas Ibrahim, pihaknya kini mempertimbangkan untuk menyaman portal berkenaan kerana laporan berita yang tidak berasas.
"Saya akan berbincang dengan Setiausaha Agung Perkasa untuk langkah menyaman portal yang melaga-lagakan kami dengan Dr Mahathir.
"Saya anggap golongan ini manusia yang meletakkan otaknya di lutut. Tidak pernah berfikir dua tiga kali sebelum membuat sebarang tindakan," ujarnya.
Tambahnya, Dr Mahathir juga bukan penaung Perkasa selain mengakui kehadiran bekas perdana menteri itu sebagai tanda hubungan rapat mereka berdua.
"Saya dan Dr Mahathir memang rapat dari dulu, kini dan selamanya. Kalau ada yang tidak percaya atau apa-apa yang mereka mahu tahu...pergi tanya Dr Mahathir sendiri.
"Saya cabar sekali lagi portal itu untuk bertanya Dr Mahathir mengenai isu berkenaan. Jangan hendak jadi popular dengan cara murahan dan putar belit begini," tegasnya.
Sebelum ini, Perkasa menolak dakwaan ia adalah sebuah pertubuhan bersifat rasis atau ekstremis.
Ibrahim turut membidas kumpulan yang mengkritik pertubuhan itu termasuk sebuah media arus perdana milik sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) dan beberapa portal berita pro pembangkang.
#ibrahim #insider #Mahathir #Melayu #PERKASA
;