Isu perkahwinan bawah 18 tahun menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Astro Awani
Disember 15, 2021 06:13 MYT
Disember 15, 2021 06:13 MYT
KUALA LUMPUR: Meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun dan langkah membanteras perkahwinan bawah umur antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto kepada Perdana Menteri.
Selain itu, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof pula meminta Menteri
Pembangunan Luar Bandar menyatakan apakah dasar kerajaan untuk membangunkan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menggunakan IBS.
Kawalan terhadap menaturalisasi pemain bola sepak sebagai pemain kebangsaan negara turut ditanyakan Ahli Parlimen Setiu, Shahari-Zukirnain kepada Menteri Belia dan Sukan.
Turut menjadi tumpuan adalah pertanyaan Ahli Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow kepada Menteri Kewangan mengenai peruntukan pembangunan tahunan kepada setiap negeri dari tahun 2010 sehingga 2020 serta hasil kutupan cukai pendapatan negeri.
Seterusnya, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubian Wang meminta Perdana Menteri menyatakan kesediaan membuka semula pintu sempadan negara dan unjuran pemulihan ekonomi yang diperoleh negara pada tahun hadapan.
Selain itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Deri Dr Dzulkefly Ahmad bertanyakan kepada Perdana Menteri mengenai kesediaan untuk membekukan atau ‘freeze bankruptcy proceeding’ buat perniagaan yang sedang dalam kegawatan ‘cashflow’ dan tekanan kewangan.
Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh pula bertanyakan Perdana Menteri mengenai penggunaan Tabung Kumpulan Wang
Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).
Hari ini merupakan hari terakhir Dewan Rakyat bersidang.