Isu perjanjian penghapusan pinjaman dan pengurusan kebun antara peneroka dan FELDA
Kenyataan Media
Ogos 2, 2021 12:24 MYT
Ogos 2, 2021 12:24 MYT
ALHAMDULILLAH saya bersama Pengerusi NGO GENERASI, Ustaz Roslan Md Esa dan Ustaz Kamal Ashaari Al-Kerdawi berpeluang untuk bertemu Datuk Seri Mustapa Mohamed Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) untuk menyampaikan memorandum berkenaan Isu Perjanjian Penghapusan Pinjaman dan Pengurusan Kebun antara Peneroka dan Felda daripada NGO GENERASI.
Setelah pengumuman penghapusan hutang peneroka sebanyak 80% yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin bersempena dengan Hari Peneroka Kebangsaan yang lalu, saya telah mendapat aduan daripada para peneroka serta NGO GENERASI mengenai kerunsingan mereka terhadap isu kandungan perjanjian yang telah disediakan oleh pihak FELDA.
Justeru GENERASI selaku NGO yang membela kebajikan dan nasib peneroka telah mencadangkan beberapa resolusi untuk dipertimbangkan oleh pihak FELDA agar objektif situasi menang-menang antara FELDA dan peneroka dapat dicapai dalam perkara ini.
Berikut merupakan 10 resolusi daripada NGO GENERASI yang saya sampaikan kepada pihak YB Menteri :
1. FELDA perlu menawarkan harga yang kompetitif dan lebih baik daripada pasaran luar.
2. FELDA hendaklah memastikan pembayaran ke atas setiap peneroka yang menjual hasil kepada kilang FELDA dibayar secara mingguan seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
3. FELDA hendaklah memberikan insentif kepada peneroka yang mengusahakan ladang sendiri (tidak ada hutang) dan peneroka yang pernah membayar hutang (secara berdisiplin) contohnya seperti anak benih secara percuma untuk tanaman semula atau apa-apa yang difikirkan setimpal sama seperti purata jumlah hutang yang dihapuskan.
4. GENERASI memohon agar penyerahan pengurusan ladang kepada FELDA ditetapkan tempoh, sehingga tempoh penanaman semula yang berikutnya atau melihat kepada tempoh usia pokok bagi menentukan tempoh penyerahan ladang.
5. Sekiranya pihak-pihak yang terlibat di dalam perjanjian melanggar mana-mana klausa perjanjian, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka.
6. FELDA mestilah mengiktiraf layanan yang sama rata ke atas peneroka yang mengurus ladang mereka sendiri dan peneroka yang menyerahkan ladang mereka kepada FELDA.
7. FELDA hendaklah memberikan pilihan kepada peneroka sama ada bersetuju untuk menanda tangan perjanjian atau tidak.
8. FELDA hendaklah memberikan penerangan secara terperinci dengan tulus dan jelas mengenai kaedah pengiraan perlupusan 80% hutang-hutang peneroka.
9. Bagi peneroka yang menyerahkan ladang kepada pengurusan FELDA, hasil yang diperolehi setelah pengeluaran hasil hendaklah dinilai sebagai hasil individu bukannya secara rawak mengikut blok dan wang sara hidup yang diberikan hendaklah dikenakan caj perkhidmatan yang patuh syariah dengan kadar yang minima iaitu tidak melebihi 3%.
10. FELDA perlu terus memperkasa dan mempelbagai kaedah penerangan kepada peneroka serta melanjutkan tempoh yang munasabah untuk peneroka membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak menandatangan perjanjian penghapusan pinjaman hutang peneroka.
Sebagai kerajaan yang prihatin, saya yakin akan ada penambahbaikan yang dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional dalam perjanjian tersebut bagi mengatasi kerisauan peneroka FELDA.
Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Seri Menteri yang sudi menerima kunjungan dan sumbang saran daripada kami.
Semoga Allah memberkati Datuk Seri.
Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
Ahli Dewan Negara
Ketua Pemuda Pas Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional
#Felda
#Dewan Negara
#undang-undang
#syariah
#NGO
#ekonomi
#Khairil Nizam Khirudin
#Mustapa Mohamed
#pinjaman
#perjanjian
#kebun
#pekebun
#peneroka
#hutang