Isu peribadi, 'ekonomi gig' antara sebab calon tidak duduki SPM - Radzi Jidin
Rahimah Abdullah
Jun 16, 2022 16:32 MYT
Jun 16, 2022 16:32 MYT
KUALA LUMPUR : Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin tidak menolak keputusan untuk bekerja dalam sektor ekonomi gig menjadi antara penyebab segelintir calon SPM 2021 tidak menduduki peperiksaan utama berkenaan.
Bagaimanapun beliau menegaskan, sebahagian besar daripada calon yang tidak menduduki SPM 2021 adalah calon persendirian.
"Ya (mungkin) ada (kaitan dengan ekonomi gig). Kita tidak nafikan. Maknanya ada yang mengambil keputusan untuk bekerja dalam tempoh tersebut.
"Namun, antara calon tersebut adalah calon SPM persendirian, biasanya kalau calon sekolah, pihak sekolah akan berjumpa ibu bapa dan pelajar, mereka akan diberi kaunseling. Itu pendekatan yang kita telah laksanakan dalam tempoh itu.
"Malah, sejak Tingkatan 4 lagi, kita tahu mereka ini kohort pertama bakal duduki Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) SPM, jadi kami mahu mereka datang ke sekolah," katanya dalam sidang media selepas melawat SMK Presint 18(1), Putrajaya sempena pengumuman keputusan SPM 2021 pada Khamis.
BACA: SPM 2021: GPN 4.86 mata, 55.29 peratus lulus semua mata pelajaran
Selain itu, ada pelbagai lagi faktor yang menyebabkan calon tidak menduduki SPM termasuk isu peribadi.
Dalam pada itu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 disifatkan sebagai kohort yang paling terkesan dengan pandemik COVID-19.
Jelasnya, walaupun terdapat desakan untuk tidak meneruskan peperiksaan utama negara itu, KPM dapat melaksanakan SPM 2021 dengan teratur.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan keputusan SPM 2021 mencapai tahap yang baik secara keseluruhannya di sebalik cabaran pandemik COVID-19 yang dihadapi calon.
"Kementerian akan tetap menganalisa keputusan berkenaan bagi melakukan penambahbaikan kepada calon SPM seterusnya,"ujarnya lagi.
Seramai 407,097 calon menduduki peperiksaan SPM yang diadakan pada Mac lalu.
Peperiksaan Tingkatan 5 berkenaan ditangguhkan pada Mac tahun ini berbanding kebiasaan yang diadakan pada akhir tahun persekolahan, ekoran negara dilanda pandemik COVID-19.