Isu penutupan taska: KPWKM teliti, bincang SOP dalam mesyuarat MKN esok - Ismail Sabri
Isabelle Leong
November 9, 2020 23:08 MYT
November 9, 2020 23:08 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti isu penutupan pusat jagaan kanak-kanak dan taska, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata perkara yang menyukarkan ibu bapa bekerja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa.
“Saya percaya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun sedang meneliti perkara ini dan akan membuat pengumuman mengenai taska.
“Isu ini sudah dibentangkan dalam mesyuarat tadi, jadi kami mintanya supaya membuat SOP (prosedur operasi standard) yang ketat.
“Sewaktu PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dahulu, kita pernah membenarkan taska dibuka dengan SOP,” katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Isnin.
Katanya lagi, kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi ibu bapa yang bekerja dan terpaksa menjaga anak-anak mereka disebabkan penutupan taska.
“Saya akan bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat esok.
“Mungkin saya akan bangkitkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.
#penutupan taska
#pusat jagaan kanak-kanak dan taska
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#Majlis Keselamatan Negara
#MKN
#Rina Mohd Harun
#prosedur operasi standard