Isu penjualan tanah: PDC buat pindaan semua surat tawaran jualan tanah

Bernama
November 20, 2023 13:11 MYT
Chow berkata tindakan itu bagi memastikan isu penjualan tanah membabitkan tanah PDC di Byram, Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan tidak berulang pada masa hadapan.- Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengambil tindakan membuat pindaan serta-merta terhadap semua surat tawaran penjualan tanah dengan meletakkan klausa berkaitan perubahan saham syarikat sebelum menandatangani perjanjian dengan mana-mana pihak.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata tindakan itu bagi memastikan isu penjualan tanah membabitkan tanah PDC di Byram, Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP2), Batu Kawan dekat sini, tidak berulang pada masa hadapan.
"Isu perubahan saham oleh pihak UMECH Land Sdn Bhd (UMECH) yang berlaku sebelum menandatangani perjanjian adalah perkara yang didapati pertama kali berlaku tanpa sebarang makluman daripada pihak UMECH kepada PDC.
"Oleh yang demikian, bagi mengatasi perkara yang sama berulang, pihak PDC telah membuat pindaan serta-merta ke atas semua surat tawaran dengan meletakkan klausa berkaitan perubahan saham syarikat sebelum menandatangani perjanjian supaya perkara yang sama tidak berulang," katanya.
Beliau menjawab soalan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) yang ingin tahu berkenaan isu penjualan tanah di Byram, BKIP2 oleh PDC kepada UMECH pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan pelbagai pihak termasuk Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) mempersoalkan mengenai penjualan tanah seluas 223.6 hektar di Byram kepada UMECH.
Susulan pelbagai isu berhubung penjualan tanah itu, Lembaga PDC memutuskan untuk menamatkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn Bhd dengan memberikan notis tiga bulan.
Chow yang juga Pengerusi PDC berkata tiada kelemahan atau kesilapan dalam proses dan prosedur penjualan tanah kepada UMECH kerana ia dibuat selaras dengan amalan PDC selama ini iaitu sama ada secara tender terbuka, cadangan permintaan atau rundingan terus.
Beliau berkata dalam hal UMECH, penjualan adalah secara rundingan terus hasil usaha promosi yang dijalankan oleh PDC di Ekspo Dubai 2020 pada 16 hingga 23 Jan 2022 dan UMECH satu-satunya syarikat yang menunjukkan minat bersungguh-sungguh untuk menjalankan perniagaan di Pulau Pinang.
"Sebelum penyertaan Ekspo Dubai 2020, hebahan dan promosi berkaitan projek-projek yang akan dibawa telah dilaksanakan dan pemilihan UMECH juga melalui proses yang panjang dan telus berdasarkan punca kuasa yang telah ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA
#Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang #Chow Kon Yeow #surat tawaran penjualan tanah #batu kawan
;