Isu pengusiran penduduk PPR akan selesai cara baik secepat mungkin - Wakil PM

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 7, 2019 05:11 MYT
Abu Bakar (tengah) bercakap kepada media selepas bertemu penduduk Taman Manggis yang berada di KOMTAR yang diusir keluar oleh penguatkuasaan Jabatan Perumahan Pulau Pinang kerana melanggar syarat ditetapkan PPR. --fotoBERNAMA
Masalah penduduk PPR Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin di sini dan Tanah Wakaf Abdul Cauder di Jalan Mengkuang, Butterworth yang diusir dari kediaman mereka, telah mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata kedua-dua isu itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat dan dibimbangi akan menimbulkan suasana tidak harmoni.
Yakin masalah yang dihadapi penduduk di kedua-dua kawasan itu dapat diselesaikan secepat mungkin, beliau berkata situasi itu jika tidak ditangani dengan baik, akan menjejaskan imej kerajaan.
Jelasnya, beliau perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai masalah sebenar penduduk di kedua-dua kawasan itu sebelum laporan mengenainya diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Pada saya, tidak ada perkara yang tidak ada penyelesaiannya. Saya hadir di sini kerana saya hendak lihat sendiri keadaan sebenar sebelum masalah ini dapat diselesaikan.
“Kita kena dapatkan maklumat yang sahih supaya kita tidak menjadi celaru,” katanya selepas bertemu penduduk Taman Manggis di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) malam tadi.
Beliau yang tiba di bangunan Komtar itu kira-kira pukul 7 malam untuk bertemu penduduk yang terlibat berkata beliau membuat pertemuan itu atas arahan Dr Mahathir yang mahu beliau mendapat gambaran sebenar berhubung isu dihadapi penduduk terbabit.
Selain penduduk, Abu Bakar juga bertemu dengan Jabatan Perumahan Pulau Pinang dan menurutnya, pihak itu bersedia membantu penduduk terbabit mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.
Beliau berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama agar masalah itu dapat diselesaikan.
Dalam pada itu, suasana yang mulanya aman bertukar tegang apabila ada pihak cuba menghalang kenderaan Abu Bakar yang mahu meninggalkan kawasan Komtar.
Bagaimanapun, kenderaan Abu Bakar berjaya keluar dengan bantuan polis selepas terperangkap kira-kira 15 minit.
Penduduk yang masih belum berpuas hati kemudiannya mula mendesak Ketua Pemuda Bersatu Pulau Pinang, Muhammad Shameer Mohamed Sulaiman, yang turut berada di situ untuk memberi penjelasan berhubung isu sama.
Beliau 'dikepung' sekumpulan penunjuk perasaan sebelum berjaya dibawa keluar dengan bantuan polis.
#Abu Bakar Yahya #Bersatu Pulau Pinang #diusir #Jabatan Perumahan #Mahathir Mohamad #Muhammad Shameer Mohamed Sulaiman #Perdana Menteri #PPR #pulau pinang #setiausaha politik #Taman Manggis #Tanah Wakaf Abdul Cauder
;