Isu pengisian RON95 oleh kenderaan asing: KPDNHEP akan umum peraturan baharu
Israr Khalid
April 6, 2022 10:03 MYT
April 6, 2022 10:03 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan peraturan baharu bagi menghalang kegiatan pengisian minyak petrol RON95 oleh kenderaan yang didaftarkan di luar negara, dalam beberapa hari lagi.
Kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pihaknya sudah memperhalusi dan memperkemas undang-undang sedia ada dan berharap ia dapat menangani masalah itu dengan lebih baik.
Ia tepat pada masanya susulan sempadan negara dibuka semula 1 April lalu, memperlihatkan masih wujud aktiviti haram itu di sekitar persempadanan negara di utara Malaysia-Thailand.
“Kita sedar, sebab kita lihat pada apa yang tular dan ada aduan, memang sejak sempadan dibuka beberapa hari ini didapati kenderaan-kenderaan negara asing menggunakan petrol RON95.
“Sebenarnya RON95 yang bersubsidi ini tak boleh digunakan oleh kenderaan asing,” katanya.
Nanta berkata, selama ini, pihak kementerian memang meminta kerjasama pengusaha stesen untuk memantau dan melarang pemilik kenderaan asing berpendaftaran luar mengisi RON95 yang bersubsidi itu.
Bagaimanapun, perbuatan itu masih diteruskan.
Katanya, pihak KPDNHEP tidak memiliki kemampuan tenaga kerja untuk membuat pemantauan di setiap stesen minyak di wilayah terbabit.
Sehubungan itu, peraturan baharu yang dikatakan lebih menyeluruh itu diharap dapat memperbaiki kelompongan yang ada.
“Kita hanya ada lebih 2,000 anggota penguat kuasa di seluruh negara, kalau nak minta pantau di setiap stesen memang tak cukup sebab kita perlu juga mengawal di kawasan dan sektor lain.
“Negara kita akan rugi banyak kalau mereka ini datang dan mengambil kesempatan untuk mengisi minyak yang disubsidikan khusus untuk rakyat Malaysia ini,” jelas Nanta.
Tonton temu bual penuh bersama Menteri KPDNHEP dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, di sini: