'Isu penggunaan chopstick mengingatkan saya kepada Imam Daud Ting..' - Anwar

Astro Awani
Disember 13, 2021 20:49 MYT
Anwar berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Tun M mengingatkan beliau kepada ilmuan serta imam Daud Ting. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Kenyataan sensitif, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan penggunaan chopstick oleh kaum Cina sebagai sebab negara berdepan cabaran untuk mempunyai nilai kesatuan identiti mengundang pelbagai respon pemimpin dan masyarakat.
Antaranya, Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir mengingatkan beliau kepada seorang ilmuan iaitu Imam Daud Ting.
"Dalam wacana tentang penggunaan chopstick saat ini, ia mengingatkan saya kepada Almarhum Imam Daud Ting yang juga penterjemah Al-Quran ke Bahasa Mandarin telah menghadiahkan chopstick kepada saya semasa pertemuan kami di Masjid Besar Taipei pada sekitar tahun 1980," katanya dalam perkongsian di Twitter pada Isnin sebagai respon terhadap isu berkenaan.

Dalam wacana tentang penggunaan chopstick saat ini, ia mengingatkan saya kepada almarhum imam Daud Ting yang juga penterjemah Al Quran ke Bahasa Mandarin telah menghadiahkan chopstick kepada saya semasa pertemuan kami di Masjid Besar Taipei pada sekitar tahun 1980.

— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) December 13, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tanpa menjelaskan lebih lanjut, konteks tweet beliau dilihat mencerminkan bagaimana individu yang dilahirkan dengan latar belakang berbeza dapat mendalami ilmu serta budaya dimiliki oleh kaum lain serta memanfaatkan kebolehan yang dimiliki tanpa sebarang isu.
BACA: Isu 'chopstick': Kenyataan Tun Mahathir disalah tafsir - Pejuang
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamuddin berkata, kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir berhubung penggunaan chopstick itu telah disalah tafsir sesetengah pihak dan digunakan sebagai bahan politik.
Dr Mahathir dan analogi chopstick
Ujarnya, kenyataan itu sama sekali tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak di negara ini.
Sebaliknya, ia lebih tertumpu kepada keunikan masyarakat di negara ini yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat dan budaya tersendiri.
“Konteks sebenar yang ingin disampaikan lebih kepada bagaimana rakyat di negara ini sedia bekerjasama tanpa ambil kira soal perbezaan sentimen bangsa.
“Selagi masyarakat di negara ini menumpukan soal perbezaan, maka usaha untuk menyatukan kaum di negara ini mungkin agak sukar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Dr Mahathir menerusi kenyataannya berkata, penggunaan chopstick ketika makan menyebabkan Malaysia tidak mempunyai identitinya.
Kenyataan itu sekali gus membuatkan ramai pihak tidak berpuas hati selain menyifatkan ia sebagai satu kenyataan yang berunsurkan perkauman.
#Ketua Pembangkang #Datuk Seri Anwar Ibrahim #Ahli Parlimen Port Dickson #Isu Chopstick
;