Isu pengangkutan awam: Anthony Loke jamin respons lebih cepat
Israr Khalid
Januari 7, 2023 10:23 MYT
Januari 7, 2023 10:23 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengakui bahawa tindakannya kerap turun padang membuat pemeriksaan tidak dapat menyelesaikan segala masalah sekitar pengangkutan awam dengan segera.
Namun, beliau memberi jaminan, kementeriannya, merangkumi seluruh komponen yang terlibat, akan memberi respons yang lebih cepat terhadap segala aduan oleh rakyat.
Beliau memaklumkan ada perkara yang melibatkan hal-hal teknikal rumit yang memakan masa yang sedikit panjang, tetapi beliau berusaha supaya masa bertindak untuk menangani sesuatu isu dapat disingkatkan.
“Masih akan ada beberapa bulan yang mana masalah teknikal akan berulang dan menyebabkan kelambatan.
"Tetapi, beza antara permasalahan yang berlaku baru-baru ini dan yang berlaku beberapa bulan lepas adalah, respons kita lebih cepat.
“Menuju ke hadapan, apa yang kita hendak nyatakan kepada rakyat adalah, ada benda yang kita boleh buat segera dan ada benda yang kita perlukan masa,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Loke memberi contoh berkenaan kekerapan tren, di mana ketika ini hampir separuh daripada tren dimiliki Prasarana sedang dihantar untuk penyelenggaraan.
Sehubungan itu, ia akan mengambil sedikit masa sebelum keadaan menjadi lebih selesa buat pengguna pada masa akan datang.
Bagaimanapun, pada masa sama, hal-hal kerosakan infrastruktur lain seperti melibatkan eskalator dan lif, boleh diselesaikan dalam masa terdekat.
Loke berharap tindakannya turun padang dapat menggesa setiap peringkat yang terlibat, daripada menteri hingga ke kakitangan perkhidmatan, untuk menjunjung akauntabiliti supaya segala permasalahan rakyat ditangani dengan serius.