Isu penempatan pegawai Jakim: Tuduhan MCCBCHST tidak berasas - Fahmi

Sinar Harian
September 3, 2024 15:59 MYT
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bercakap pada Sidang Media Mingguan Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Tuduhan bahawa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang ditempatkan di sesetengah jabatan terlibat dalam penggubalan dasar kerajaan adalah tidak berasas sama sekali.
Sebaliknya tegas jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, pegawai Jakim yang ditempatkan adalah untuk membantu dari segi integriti dan pengisian kerohanian.
"Mengeluarkan tuduhan pegawai Jakim terlibat isu dasar itu terlalu jauh dari matlamat asal.
"Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) tidak sepatutnya melemparkan tuduhan ini dan ia tidak berasas," katanya menerusi sidang akhbar mingguan pasca Kabinet di sini pada Selasa.
Jelas beliau, penempatan pegawai Jakim dilakukan menerusi dasar kerajaan pada 2006 malah ia tidak melibatkan kesemua kementerian.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memberitahu sehingga hari ini tidak ada pegawai Jakim yang baru ditempatkan di mana-mana kementerian," ujar Fahmi.
[TERKINI] Sidang media mingguan Menteri Komunikas
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam mesyuarat Kabinet telah mengarahkan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dan Mohd Na'im mengadakan pertemuan dengan MCCBCHST.
"Walaupun perkara ini telah dijawab Jakim pada 7 Ogos lalu, kenyataan terbaharu MCCBCHST dianggap telah menimbulkan salah faham.
"Jadi Perdana Menteri arahkan supaya pertemuan diadakan dalam masa terdekat," katanya.
MCCBCHST sebelum ini menyuarakan bantahan berhubung laporan bahawa pegawai agama Jakim akan ditempatkan di semua jabatan bagi memastikan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam. -- Sinar Harian
#penempatan pegawai jakim #Fahmi Fadzil #jabatan kerajaan #MCCBCHST