Isu pendaratan Rohingya timbulkan persoalan keselamatan sempadan - Nor Saidi

Astro Awani
Mei 23, 2015 12:37 MYT
NOR SAIDI: Isu pendaratan Rohingya timbulkan persoalan keselamatan sempadan - Gambar fail
Insiden pendaratan pelarian Rohingya di pantai Langkawi menimbulkan persoalan sejauh mana tahap keselamatan sempadan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan berkata, ia renteten kebanjiran beramai-ramai pendatang daripada Rohingya yang membawa pelarian berkenaan di pulau itu.
"Melihat betapa mudahnya mereka ini masuk, terfikir alangkah baik jika Langkawi ini juga ada agensi seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
"Langkawi memang tidak bersedia untuk menerima kemasukan pelarian Rohingya. Kita tidak mempunyai kemudahan itu selain ia akan memberi kesan negatif kepada ekonomi serta lokasi ini sebagai destinasi pelancongan negara," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
BACA: NGO, orang perseorangan diminta bantu pelarian Rohingya - Ahmad Zahid
Langkawi menjadi tumpuan sepanjang minggu lepas apabila lebih 1,158 warga Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar mendarat secara haram di pulau peranginan itu sekali gus mencatat pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbesar dilaporkan setakat ini.
BACA: Rohingya: Malaysia minta jaminan Myanmar tangani krisis pelarian
Bagaimanapun jelasnya, pada masa kini adalah penting untuk memberikan bantuan kepada 7,000 lebih palarian yang masih hanyut dan terkandas di laut.
"Sebagai seorang manusia, ia menjadi tanggungjawab untuk kita membantu mereka yang memerlukan. Mereka melihat negara kita sebagai tempat untuk mereka meneruskan kehidupan," katanya.
Pada Khamis, negara bekerjasama dengan Indonesia dan Thailand untuk memberi bantuan kepada 7,000 pelarian yang masih terkandas di laut.
BACA: TLDM hantar empat aset bantu Rohingya
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan empat aset iaitu KD Selangor, KD Kinabalu, KD Jerai dan KD Laksamana untuk membantu bot-bot yang terkandas.
#ESSCom #Indonesia #Rohingya #Thailand
;