Isu penceramah pro-Zionis: 'Keluar! Anda tidak dialukan di negara ini!' - Rakyat Malaysia
Afiezy Azaman
April 25, 2024 11:10 MYT
April 25, 2024 11:10 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia bersatu hati di platform media sosial mengutuk dan mengusir ahli akademik Amerika Syarikat pro-Zionis, Bruce Gilley keluar dari negara ini, pada Khamis.
Ini selepas Gilley menyatakan dirinya telah keluar dari Malaysia serta mendakwa Malaysia bukan negara selamat untuk dilawati ketika ini.
"Saya telah selamat berlepas dari Malaysia, lebih awal sebelum penunjuk perasaan Islam-fasis yang disokong kerajaan di sana mengadakan demonstrasi," katanya melalui ciapan X, pada Khamis.
Pada Rabu, Universiti Malaya (UM) mendapat kecaman kerana membenarkan Gilley menyebarkan propaganda Zionis dalam ceramahnya di universiti itu dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.
Sementara itu, beberapa pengguna media sosial X turut mengutuk kenyataan Gilley terhadap pro-Palestin dan Malaysia.
Pada Rabu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan pembatalan program dan aktiviti yang dijadual dihadiri seorang penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial dibatalkan segera.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata pihak kementerian mengambil maklum dan memandang serius berhubung isu yang berlaku itu.
"Susulan itu, saya sudah mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah berkenaan dibatalkan segera.
"Saya turut meminta Universiti Malaya (UM) untuk menyiasat perkara ini dan melaporkan segera butiran lanjut," katanya dalam kenyataan.
Zambry berkata, pada masa sama, setiap agensi dan institusi di bawah KPT diingatkan supaya peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program yang dianjurkan.