Isu pembelian banglo: 'Saya tak minat layan sesi minum kopi', kata Shabudin kepada Guan Eng
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 20, 2016 14:07 MYT
Mac 20, 2016 14:07 MYT
"Saya tidak berminat untuk melayan jemputan sesi minum kopi seperti ini," itu reaksi Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya mengulas jemputan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang ingin bersemuka dengannya bagi menjelaskan isu pembelian banglo dan penjualan tanah kerajaan negeri.
Menurutnya, sebagai seorang ahli politik yang telah lama dan juga seorang ketua menteri, Guan Eng tidak perlu berbuat sedemikian sebaliknya perlu bertindak lebih matang dengan menyerahkan isu tersebut untuk disiasat pihak berkuasa.
"Kenapa YAB Bagan mencabar saya bersemuka dengannya pada pagi ini di pejabatnya secara berdepan? Kenapa beliau perlu berdebat dengan saya? Atau beliau ingin membuat sesi minum kopi bersama saya?
"Maaf saya tidak berminat untuk melayan jemputan sesi minum kopi seperti ini. Saya hanya berminat untuk beliau bekerjasama dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk siasat tehadap skandal rumah dan tanah kos rendah Taman Manggis," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Menurut Shabudin, beliau sebelum ini tidak pernah meminta Guan Eng memberi penjelasan kepadanya.
Sebaliknya, Guan Eng perlu mengemukakan fakta kepada tiga pihak utama iaitu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mewakili SPRM dan Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta dibawah Kementerian Kewangan.
"Bagi pihak saya, saya bersedia untuk disoal siasat oleh SPRM dan saya juga bersedia mengemukakan dokumen tertentu yang berkaitan dengan kes yang telah ditanya di dalam Parlimen itu untuk dinilai, disiasat dan disemak oleh SPRM. Jadi saya tiada masalah (untuk bekerjasama)," katanya.
Shabudin berkata, jemputan Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan itu disifatkan sebagai satu gimik politik murahan yang tidak menunjukkan kematangannya sebagai seorang Ketua Menteri.
Guan Eng dalam satu sidang media di Komtar pagi ini berkata beliau kesal dengan tindakan Shabudin yang menolak undangan bersemuka berkenaan isu pembelian banglo dan penjualan tanah kerajaan negeri.
#Ahli Parlimen Tasek Gelugor
#Datuk Shabudin Yahaya
#Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kesal
#pembelian banglo mewah
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)