Isu pembelajaran digital AI antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Astro Awani
Julai 17, 2024 07:45 MYT
Hari ini adalah hari terakhir sidang mesyuarat mesyuarat kedua penggal ketiga Parlimen ke-15 yang berlangsung selama 15 hari. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Isu pembelajaran digital untuk kecerdasan buatan (AI), bantuan untuk usahawan Bumiputera Sarawak dan kemudahan pelupusan sisa pepejal antara yang akan menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan aturan mesyuarat, isu itu akan dibangkitkan dalam sesi soal jawab lisan, bagi hari terakhir sidang.
Isu pembelajaran digital dibangkitkan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Beliau meminta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah bagi mengoptimumkan penggunaan digital dalam pengajaran dan pembelajaran melalui Digital Educational Learning Initiative Malaysia(DELIMa) oleh guru dan pelajar dan sejauh mana kementerian bersedia dalam mempromosi dan memberi pendedahan kepada murid tentang teknologi AI melalui portal ini.
Selain itu, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah kerajaan telah membuat kajian terperinci dan sesi libat urus yang secukupnya berkenaan cadangan untuk menyahjenayah (dekriminalisasi) dalam penyalahgunaan dadah kerana ia akan memberi impak kepada keselamatan masyarakat awam.
Turut dibangkitkan perihal usahawan Bumiputera di Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan berapa bilangan usahawan, jumlah geran pembiayaan dan jenis bantuan yang telah disalurkan khusus untuk masyarakat Bumiputera di Sarawak.
Beliau juga mahu penjelasan sejauh manakah pelaksanaan Program Pembangunan Bidang Industri Kecil dan Sederhana yang telah dilaksanakan di negeri Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar.
Sementara itu Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail mahu penjelasan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam adakah kementerian bercadang untuk menambahkan kemudahan bagi rawatan dan pelupusan sisa terjadual (schedule waste) di Semenanjung Malaysia memandangkan pertumbuhan yang pesat dalam industri E&E seperti semiconductor, terutamanya di wilayah utara Semenanjung.
Mesyuarat hari ini beberapa rang undang-undang (RUU) untuk bacaan kali kedua, antaranya RUU Penagih Dadah (rawatan dan pemulihan) (pindaan) 2024 dan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (pindaan) 2024.
Hari ini adalah hari terakhir sidang mesyuarat mesyuarat kedua penggal ketiga Parlimen ke-15 yang berlangsung selama 15 hari.
#Dewan Rakyat #Isu pembelajaran digital AI #usahawan Bumiputera Sarawak #pelupusan sisa pepejal
;