Isu pembayaran royalti minyak diperhalusi - Dr Wan Azizah

Fifi Harteeny Marzuki
Julai 22, 2018 17:43 MYT
DR WAN AZIZAH: Kerajaan juga harus fikir soal tabung negara dan akan memenuhinya keperluan dengan sewajarnya. - BERNAMA
Kerajaan akan memperhalusi semula kadar pemberian royalti minyak 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak di negara ini termasuk mekanisme pembayarannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bagaimanapun, perbincangan akan dilakukan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penyaluran royalti hasil minyak kepada negeri-negeri pegeluar petroleum di negara ini.
Jelasnya, keputusan yang dibuat setakat ini perlu mengambil kira faktor lain termasuklah situasi ekonomi semasa negara.
"Saya kena rujuk semula kepada Perdana Menteri berhubung isu pembayaran royalti minyak ini.
"Kerajaan juga harus fikir soal tabung negara dan akan memenuhinya keperluan dengan sewajarnya. Ini bukan janji kosong Kerajaan.
"Kerajaan Persekutuan komited untuk melaksanakannya kerana ia sudah termaktub dalam perjanjian manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lepas," katanya kepada media selepas merasmikan seminar "Sekeluarga Tolak Pornografi" di Maktab Perguruan Kent, Tuaran, pada Ahad.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew dan pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua.
Sebelum ini, Dr Mahathir mengumumkan bahawa kerajaan akan memenuhi janji memberikan royalti minyak sebanyak 20 peratus berdasarkan keuntungan dan bukan jualan kasar peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.
Ketika ini, Sabah dan Sarawak hanya menerima royalti minyak petroleum lima peratus manakala Kelantan dan Terengganu hanya menerima wang ehsan.
Sementara itu, dalam seminar yang diadakan, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyeru agar kempen kawalan penggunaan gajet dan keluarga bijak siber perlu diperluaskan dalam usaha mengawal penggunaan gajet dan melayari alam siber.
Tambahnya, usaha murni penganjuran seminar ini harus dicontohi semua pihak dalam membantu kerajaan menangani isu dan permasalahan sosial yang boleh merosakkan negara dan bangsa.
BACA: Kerajaan Kelantan akan perincikan penggunaan wang royalti minyak - Ahmad Yakob
BACA: Pemberian royalti minyak 20 peratus bukti kerajaan tunai janji
BACA: Sabah tetap tuntut 20 peratus royalti minyak
BACA: Kerajaan bayar royalti minyak terus ke Kerajaan Negeri
#royalti minyak #Wan Azizah
;