Isu pembangunan, Alam Sekitar tumpuan utama penduduk Pahang

Nuradilla Noorazam
April 11, 2018 18:48 MYT
Isu pembangunan, alam sekitar antara fokus utama di Pahang. - Foto fail Bernama
Kaya dengan sumber asli tetapi masih ketinggalan dari sudut pembangunan, masa hadapan Pahang sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) harus dilihat semula.
Menurut Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid, memahami aspek demografi penduduk yang pelbagai di negeri terbesar Semenanjung Malaysia ini begitu penting sekali.
“Saya melihat Pahang ini terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama yang dipanggil ‘Periphery of Kuala Lumpur’ iaitu kawasan yang lebih dekat dengan Wilayah Persekutuan seperti di Bentong, Raub, Mentakab dan Temerloh.
“Selain itu ada kawasan yang bersifat ‘coastal’ berdekatan pantai seperti Kuantan, Rompin dan daerah-daerah Felda dan pedalaman seperti di Kuala Lipis, Jengka serta Jerantut.
“Penduduk di ketiga-tiga kawasan ini sebenarnya amat berbeza dari segi pemikiran dan kehendak mereka. Masalah setempat yang dialami juga tidak sama jadi memerlukan pendekatan yang berbeza di setiap tempat,” katanya.
Hamidin berkata isu utama di Pahang masih lagi berkaitan dengan pembangunan. Meskipun sebuah negeri dengan keluasan terbesar dan mempunyai anugerah alam semula jadi yang kaya, Pahang masih lagi ketinggalan dalam aspek pembangunan.
“Kalau kita lihat di Pahang antara sumber ekonomi terbesar adalah pelancongan. Tetapi bagaimana aspek ini digunakan untuk merancakkan ekonomi setempat. Adakah potensi Pahang sebagai destinasi pelancongan itu telah dilaksanakan dengan betul?
“Apabila kita datang dari Kuala Lumpur ke Kuantan contohnya selepas melalui pintu gerbang untuk ke ibu kota itu di sekeliling kita dapat melihat kawasan yang tidak digunakan dengan baik. Kosong sahaja persekitarannya sedangkan banyak yang boleh dibuat untuk menarik pelancong,” jelasnya.
Pada 2017, Pahang mencatatkan jumlah pelancong seramai lebih 13 juta orang dengan nilai pendapatan RM7.48 billion. Hampir setengah dari jumlah pelancong yang melawat negeri itu merupakan pelancong Genting Highlands.
Sementara itu, Ketua Penyelidik, Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mushrifah Idris berkata, isu pencemaran alam sekitar turut menjadi tumpuan di negeri ini.
Sebagai contoh katanya, Tasik Chini yang terletak di Pekan dan diwartakan sebagai tapak Rizab Biosfera pertama di Malaysia kini diancam dengan kemusnahan alam akibat perlombongan mineral yang tidak dikawal.
Di Kuala Lipis pula, aktiviti perlombongan di kawasan Hutan Simpan Tersang didapati menjadi punca air di Sungai Telang, Kampung Beletik tercemar.
Malah, menurutnya, Sungai Balok, Penggorak dan Bukit Goh di Kuantan turut menjadi mangsa pencemaran logam akibat pelombongan bauksit sehingga menyebabkan warna air menjadi merah disebabkan bijih bauksit.
Turut menjadi isu utama di Pahang adalah pembalakan haram yang menyebabkan pencemaran di kawasan sekitar dan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan negeri Pahang.
Sementara itu, wakil rakyat pakatan pembangkang di Pahang terdiri daripada aktivis alam sekitar atau memperjuangkan isu alam sekitar seperti Wong Tak yang terkenal sebagai pemimpinan Himpunan Hijau yang memprotes operasi syarikat Lynas Corporation Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng.
Sementara itu, ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang merupakan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut lantang bersuara mengenai isu pembalakan haram di hutan simpan negeri ini dan Berjaya mencuri perhatian penduduk setempat dengan isu pencemaran bauksit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Adnansura Rabu, yang mewakili Pas pula turut memenangi kerusi tersebut pada PRU13 selepas memperjuangkan isu pencemaran alam sekitar terutamanya bauksit.
#alam sekitar #Amanah #BN #DAP #MCA #MIC #Pahang #Pakatan Harapan #PAS #pencemaran #PKR #PPBM #PRU13 #PRU14 #UMNO
;