Isu pembalakan haram: Pihak berkuasa didakwa 'tutup mata'

Hakim Rahman
Januari 27, 2021 12:54 MYT
MOHD AZMI: Mana mungkin lori membawa keluar balak dengan begitu jelas di atas jalan raya tidak dapat dilihat pihak berkuasa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa didakwa tidak mengambil tindakan tegas dan menutup mata terhadap aktiviti pembalakan haram meskipun ia telah berlanjutan sejak bertahun-tahun lalu, kata Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Katanya, operasi pembalakan sangat mudah dikesan kerana melibatkan jentera besar yang berulang alik dari kawasan hutan yang dibalak dengan begitu jelas sekali namun tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
"Balak dan lori bukan dadah yang boleh disorok dalam beg atau kereta. Jadi, yang dikata 'balak haram' itu sebenarnya tidak wujud.
"Pembalakan haram pada hakikatnya tidak wujud. Yang ada ialah pembalakan haram yang dihalalkan bila pihak berwajib memejamkan mata untuk tidak bertindak ke atas pihak yang beroperasi dengan bebas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah Azmi, naratif yang menyatakan berlakunya pembalakan haram adalah sesuatu yang aneh jika ia tidak diketahui oleh pihak berkuasa.
Pihak berkuasa hanya menyiasat adanya 'pembalakan haram' di sesuatu kawasan selepas berlakunya tanah runtuh dan banjir besar.
"Lebih parah lagi ialah pembalakan yang membabitkan amalan rasuah yang melibatkan pihak atasan serta juga kakitangan bawahan yang melindungi pembalakan yang dikatakan haram itu," katanya lagi.
Mengulas lanjut Azmi berkata, negara memiliki 20.3 mega hektar hutan semula jadi pada 2010 namun jumlah itu semakin menyusut hingga pada 2019, negara telah kehilangan 193,000 hektar hutan semula jadinya.
"Kenapa ini boleh terjadi? Jawabnya adalah wujud penyelewengan, salah guna kuasa, tidak berintegriti dan rasuah yang membenar dan 'menghalalkan' pembalakan haram," kata Azmi lagi.
Sehubungan itu beliau mengesa Kerajaan Negeri dan Pusat tidak mengambil mudah isu pembalakan kerana kesannya sangat serius untuk jangka pendek dan panjang.
Katanya, selagi pihak berkuasa tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya untuk membendung pembalakan, selagi itulah isu kemusnahan alam akan berlaku, malah lebih besar lagi apabila ditambah impak daripada fenomena perubahan cuaca.
"Penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah dalam industri pembalakan mestilah dibasmi habis-habisan," katanya lagi.
#Rasuah #kerajaan #haram #balak #hutan
;