Isu pelantikan Nurul Izzah dibimbangi jejaskan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia - TI-M
Rahimah Abdullah
Januari 31, 2023 17:26 MYT
Januari 31, 2023 17:26 MYT
KUALA LUMPUR : Pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri hanya memperlihatkan konflik kepentingan dan mewujudkan salah tanggapan daripada rakyat.
Presiden Transparency International (TI-M), Muhammad Mohan berkata, konflik kepentingan itu berlaku apabila mana-mana individu yang mempunyai pertalian keluarga berada dalam sesebuah organisasi atau syarikat.
"Akan ada masalah di mana terdapat konflik kepentingan dan sudah tentu nepotisme. Sebagai contoh dalam sebuah syarikat, kita bekerja bersama, seorang lelaki bujang suka dengan seseorang (pekerja lain) dan mahu berkahwin dan mereka dalam jabatan yang sama.
"Apabila mereka sudah berkahwin, majikan mereka tidak membenarkan mereka bekerja di bawah jabatan yang sama dan perlu dipindahkan ke jabatan lain.
"Kes ini sama juga seperti apa yang berlaku kepada isu melibatkan Nurul Izzah yang merupakan anak Perdana Menteri," katanya dalam sidang media selepas membentangkan hasil keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun 2022, di sini, pada Selasa.
Malah katanya, tindakan itu disifatkan sebagai bertentangan dengan prinsip Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menentang nepotisme dan kronisme.
"Sebab utamanya juga adalah kerana media dan rakyat juga membangkitkan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini yang menentang nepotisme dan kronisme. Sekarang ini kenapa Perdana Menteri melakukan pelantikan ini," ujarnya.
Malah, TI-M bimbang jika situasi itu tidak diperbetulkan, ia akan memberi kesan kepada Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia.
"Saya takut jika perkara ini tidak diperbetulkan, ia akan memberi kesan kepada CPI Malaysia kerana ini semua melibatkan persepsi. Jadi persepsi hari ini ialah nepotismen berlaku dan ini sesuatu yang tidak bagus.
"Secara peribadi, beliau melihat Nurul Izzah adalah seorang yang sangat berharga kepada negara. Namun, yang tidak bernasib baik adalah, ayahnya melantik beliau dan menjadi isu. Ini mungkin tidak akan menjadi isu kalau menteri lain yang melantiknya," tambahnya.
Justeru, beliau berharap Perdana Menteri akan melihat semula pelantikan Nurul Izzah bagi mengelak sebarang kewujudan konflik kepentingan.