Isu pelajar UiTM 'slow learner': Tengku Adnan mohon maaf

Bernama
November 28, 2017 07:02 MYT
Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan tampil memohon maaf itu kira-kira 24 jam selepas kenyataannya itu tular di media sosial, hingga menyebabkan ramai pihak tidak berpuas hati.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memohon maaf berhubung kenyataannya yang dikatakan memperlekeh penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai 'slow learner' atau kurang cemerlang dalam pelajaran.
Beliau memohon maaf secara terbuka kepada individu dan pihak yang berkecil hati dengan kenyataan itu.
Menurut Tengku Adnan beliau sama sekali tidak berniat merendahkan sesiapa khususnya pelajar dan graduan UiTM ketika didakwa mengeluarkan kata-kata itu semasa berucap pada majlis Anugerah Nadi Negara 2017, di sini Sabtu lepas.
"Yang saya lakukan ialah satu 'motivational speech' untuk pelajar. Itu yang saya lakukan selalu," katanya pada sidang media selepas perjumpaan bersama Persatuan Alumni UiTM di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pada Selasa.
Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan tampil memohon maaf itu kira-kira 24 jam selepas kenyataannya itu tular di media sosial, hingga menyebabkan ramai pihak tidak berpuas hati.
Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Alumni UiTM, Datuk Zaini Hassan, yang turut hadir pada sidang media itu, menyifatkan isu berkenaan telah selesai secara baik "dari hati ke hati" dan berharap tiada pihak akan menangguk di air keruh dengan memperbesarkan isu tersebut.
"Beliau (Tengku Adnan) bercakap dalam konteks yang begitu baik, begitu murni sebagai satu motivasi kepada para pelajar tetapi telah diambil dalam konteks yang berbeza dan kita faham terhadap perkara itu.
"Saya sendiri sebagai seorang wartawan, saya pernah mengalami perkara ini apabila niat kita, apa yang kita sampaikan disalah erti," katanya sambil menghargai keikhlasan Tengku Adnan memohon maaf kepada ribuan anggota Alumni UiTM.
"Beliau seorang setiausaha agung parti terbesar di Malaysia sanggup menyatakan permohonan maafnya kepada kami semua," katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin ketika mengulas isu itu berharap masyarakat dapat mengikis sikap terlalu cepat melatah hingga mudah mengecam sesiapa sahaja termasuk pemimpin sebelum sesuatu perkara itu disahkan kebenarannya.
"Kita ini terlalu cepat membuat kecaman... Beliau (Tengku Adnan) telah memohon maaf, tapi beliau juga dah jelaskan konteks kenyataan itu, adalah berbeza dari tanggapan orang ramai.
"Dan kita kena akui, bila ITM (Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara) ditubuhkan dahulu, antara tujuannya adalah untuk memberi tempat kepada pelajar yang miskin, pelajar 'late bloomers', atau tak sampai tahap kecemerlangan mereka di waktu sekolah," katanya.
-- BERNAMA
#Anugerah Nadi Negara 2017 #Ku Nan #memohon maaf #Pelajar UiTM #slow learner #Tengku Adnan Tengku Mansor
;