Isu pelajar tercicir perlu penglibatan NGO, badan korporat - Untuk Malaysia
Firdaus Azil
Mei 27, 2022 11:41 MYT
Mei 27, 2022 11:41 MYT
KUALA LUMPUR: Usaha mengatasi masalah keciciran pelajar yang meruncing di negara ini perlu melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), kata Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Malaysia, Zul Fikri Zamir.
Beliau berkata, pihaknya percaya lebih ramai pelajar mampu dibantu, sekiranya NGO seperti Untuk Malaysia, serta badan-badan korporat, dapat diberi akses kepada data tentang jumlah serta lokaliti sebenar pelajar yang tercicir.
Zul Fikri percaya, jumlah sebenar pelajar yang tercicir adalah jauh lebih ramai daripada apa yang dilaporkan, memandangkan Malaysia merupakan antara negara yang menutup sekolah paling lama di rantau ini.
“Kita kena faham, untuk selesaikan isu keciciran ini bukan sahaja Malaysia, tetapi semua negara di seluruh dunia perlu lapan tahun untuk kembali seperti era sebelum 2020.
“Pelan pemulihan (pendidikan) itu perlu mengambil kira banyak faktor, (kerajaan) perlu mendengar saranan dari pihak-pihak NGO, badan-badan korporat, supaya kita sama sama bantu selesaikan isu tersebut,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Zul Fikri berkata, Tindak Malaysia sebagai contoh mempunyai kekuatan dari segi teknik pengajaran 3M (membaca, menulis, dan mengira), serta mempunyai sukarelawan yang dapat melakukan sesi dengan pelajar yang tercicir.
Namun, katanya lagi, sinergi perlu ada antara kementerian, kerajaan negeri, NGO, dan badan korporat supaya lebih mudah untuk menjejaki golongan pelajar berkenaan, dengan data dan sumber sedia ada.
“Baru-baru ini kita diminta untuk hadir ke Pejabat SUK Selangor, panggil kita mesyuarat sama-sama dengan Jabatan Pelajaran Selangor.
"Kita lihat dari segi lokaliti, daerah, kawasan misalnya supaya dapat tahu keadaan keciciran di lokaliti tu macam mana.
“Kita perlukan campur tangan pihak kerajaan negeri panggil pemegang taruh, sebab kita ada cara, kita ada sukarelawan dan konsultan, dan kita boleh buat lebih banyak lagi kalau diberi data, akses, dan perlu duduk sama-sama fikir macam-mana nak selesaikan isu ini,” katanya lagi.