Isu pekerja pembersihan diberhentikan: Kementerian Pendidikan perlu campur tangan - ADUN Jeram

Astro Awani
Jun 22, 2019 12:43 MYT
"Berdasarkan laporan media sebelum ini, lebih 45,000 pekerja pembersihan di seluruh negara diberhentikan dengan alasan kekangan peruntukan dan kewangan yang disalurkan Kementerian Pendidikan kepada syarikat-syarikat kontraktor," kata Mohd. Shaid.
Kementerian Pendidikan perlu campur tangan terhadap keputusan kontraktor pembersihan yang didakwa memberhentikan ramai pekerja mereka sebelum ini sehingga menyebabkan kebanyakannya hilang punca pencarian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli berkata, kebanyakan pekerja pembersihan yang diberhentikan adalah golongan berpendapatan rendah atau B40 termasuk ibu tunggal dan penerima bantuan kerajaan seperti Baitulmal yang masih menanggung beban menyara kehidupan keluarga.
"Berdasarkan laporan media sebelum ini, lebih 45,000 pekerja pembersihan di seluruh negara diberhentikan dengan alasan kekangan peruntukan dan kewangan yang disalurkan Kementerian Pendidikan kepada syarikat-syarikat kontraktor.
"Keputusan ini agak mengecewakan dan seolah-olah satu penganiayaan kepada kumpulan pekerja pembersihan ini.
"Jika itulah alasannya, Kementerian Pendidikan boleh mengambil contoh apa yang dilakukan oleh kerajaan Selangor di mana mereka menawarkan tender berdasarkan tawaran harga. Siapa yang menawarkan pada kadar lebih rendah akan layak menerimanya," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, kata Mohd. Shaid, Kementerian Pendidikan juga sepatutnya boleh menggunakan kaedah tersebut dengan menetapkan syarat bagi mana-mana kontraktor yang boleh menawarkan pakej yang lebih rendah untuk kelayakan diberi kontrak. Jadi dalam kes ini, kemungkinan pembuangan pekerja dapat dielakkan.
"Selain itu, sebagai contoh tambahan, jika di dalam sebuah sekolah itu memiliki 14 pekerja pembersihan dan 10 pekerja sudah diberhentikan, mana mungkin empat pekerja itu mampu bekerja dan boleh menguruskan kebersihan di seluruh sekolah berkenaan.
"Di DUN Jeram sendiri, seramai 39 orang pekerja pembersihan sudah membuat aduan di pejabat ADUN akibat diberhentikan dan sebahagian besar adalah ibu tunggal serta masih mempunyai tanggungan.
"Sementara, gaji yang diterima pula adalah gaji asas iaitu RM1,100," ujarnya.
Justeru, Mohd. Shaid mahu Menteri Pendidikan, Maszlee Malik memberi respons terhadap isu itu dan menyuarakan satu jalan penyelesaian yang dapat mengurangkan beban ditanggung mereka yang sudah diberhentikan.
"Langkah ini juga penting bagi menunjukkan Pakatan Harapan (PH) serius dalam usahanya membela nasib rakyat.
"Rakyat kini sudah terbeban dengan kos sara hidup dan situasi berkenaan satu yang tidak baik terhadap kerajaan Pakatan Harapan sendiri," tegasnya.
#ADUN #diberhentikan #Jeram #Kementerian Pendidikan #kontraktor pembersihan #Maszlee Malik #Mohd Shaid Rosli
;