Isu pekerja asing: "Mengapa Malaysia tidak hormati MoU?" - Duta Besar Indonesia

Harits Asyraf Hasnan
Julai 14, 2022 11:33 MYT
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono mempersoal tindakan kerajaan Malaysia yang tidak menghormati perjanjian yang ditandatangani kedua-dua negara berkenaan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) pada April lalu. - Gambar KBRI Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono mempersoal tindakan kerajaan Malaysia yang tidak menghormati perjanjian yang ditandatangani kedua-dua negara berkenaan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) pada April lalu.
Menurut beliau, dalam MoU itu secara jelas menyatakan pengambilan pekerja Indonesia perlu dilakukan menerusi sistem satu saluran yang diputuskan oleh kedua-dua negara.
Hermono berkata, menerusi sistem itu, pihak Indonesia akan mendapat maklumat terperinci sekali gus menangani isu-isu yang sebelum ini dilihat telah menindas PDI.
"Apabila digunakan sistem (yang dibangunkan) Malaysia, ini sangat membahayakan pekerja-pekerja Indonesia dan sangat merugikan pekerja-pekerja Indonesia.
"Kita (Indonesia) juga tidak mengetahui siapa majikan mereka, kita tidak mengetahui apakah mereka memiliki kontrak pekerjaan, jika pun memiliki kontrak pekerjaan, adakah ia selari dengan apa yang disepakati dalam MoU?
"Jadi di sini isunya adalah apabila pengambilan pekerja domestik dari Indonesia mengguna sistem kini, ia sangat berisiko bagi pekerja Indonesia dan kita pun tidak tahu siapa majikan mereka, di mana mereka bekerja, bagaimana mereka digaji, bagaimana mereka diperlakukan, kita tidak tahu.
"Jadi ini sangat merugikan kepentingan Indonesia dalam hal ini, iaitu kepentingan untuk memberi perlindungan.
"Sebelum ini kita dapati banyak kes di mana PDI ada yang tak dibayar bertahun-tahun, ada yang sampai 17 tahun tidak dibayar, selain ada yang diperlakukan secara tidak manusiawi.
"Jadi, Indonesia ingin isu-isu ini diselesaikan dengan semangat yang baik antara kedua negara," katanya dalam temu bual menerusi program Niaga AWANI pada Khamis.
Mengulas lanjut, Hermono berkata, keputusan membekukan kemasukan pekerja itu bukanlah sesuatu yang mudah kepada Indonesia.
Ini kerana, beliau ingin hubungan antara Indonesia dan Malaysia berdasarkan pada prinsip saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain lantaran kedua negara memiliki kepentingan yang sangat besar dalam isu ini.
Niaga AWANI: Beku kemasukan pekerja asing, apa seterusnya?
"Pemerintah Indonesia dengan sangat terpaksa menghentikan sementara waktu menghantar seluruh pekerja Indonesia ke Malaysia melibatkan seluruh sektor, tidak hanya pekerja domestik sahaja.
"Indonesia terpaksa mengambil keputusan ini kerana kami mendapati Malaysia tidak menghormati MoU yang ditandatangani di Jakarta, di hadapan kedua pemimpin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Joko Widodo.
"Sebetulnya, isu ini mudah sahaja. Kami (Indonesia) bertanya, mengapa pihak Malaysia tidak menghormati MoU yang sudah disepakati dan ditadatangani di hadapan kedua pemimpin.
"Jadi kami sangat kecewa dan berharap hubungan Malaysia-Indonesia ini dibangun berdasarkan saling menghormati, saling percaya dan saling menguntungkan kedua belah pihak," ujarnya.
Justeru pihaknya meminta Malaysia menghormati MoU yang ditandatangani, demi memastikan isu-isu berkaitan PDI dapat ditangani secara holistik oleh kedua-dua pihak.
#pekerja asing #pekhidmat domestik Indonesia #Hermono #sekat kemasukan pekerja Indonesia
;