Isu PATI: Kerajaan perlu tegas, tidak perlu kelonggaran lagi

Sinar Harian
Julai 2, 2022 07:00 MYT
Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap PATI selepas Program Rekalibrasi Pulang berakhir Khamis lalu. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Kerajaan perlu bertindak tegas dan tidak perlu memberikan sebarang kelonggaran lagi kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas Program Rekalibrasi Pulang berakhir Khamis lalu.
Peguam, Norman Fernandez berkata, kerajaan telah memberi kelonggaran masa yang mencukupi untuk PATI pulang ke negara asal.
"PATI telah mempunyai cukup masa untuk keluar dari Malaysia secara tertib dan sah selepas tarikh program tersebut dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun daripada tarikh asal pada Disember tahun lalu.
"Namun, PATI telah beranggapan bahawa kerajaan akan sekali lagi melanjutkan program rekalibrasi membolehkan mereka mengambil kesempatan berada di Malaysia untuk tempoh lanjutan.
"Sekarang, PATI yang terkandas berhadapan tindakan undang-undang dan juga ditahan di kem-kem tahanan pendatang asing," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Menurutnya, Indonesia dan Bangladesh perlu berunding dengan kerajaan untuk membawa pulang warganegara mereka jika prihatin dengan nasib rakyatnya.
"Tindakan sedemikian pernah dilakukan oleh kerajaan Thailand pada awal tahun 1980 untuk membawa pulang warganegara Thailand yang tinggal lewat masa dan secara haram di Singapura.
"Besar harapan rakyat Malaysia bahawa pihak berkuasa akan menjalankan operasi berterusan untuk mengesan dan menangkap semua PATI yang masih berada di Malaysia. Rakyat juga boleh membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tentang kehadiran PATI," katanya. -Sinar Harian
#pati #pendatang asing #Program Rekalibrasi Pulang #Norman Fernandez
;