Isu parkir luar hospital, MBI tak saman waktu puncak - Datuk Bandar
Aida Aziz
Februari 26, 2022 12:44 MYT
Februari 26, 2022 12:44 MYT
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberi jaminan tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan notis saman kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di luar pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, buat masa ini pendekatan tolak ansur itu diambil ketika waktu puncak, di mana ramai yang datang berurusan di hospital tersebut.
"Waktu kritikal atau puncak memang (penguat kuasa MBI) tak saman. Kita memang buat begitu (toleransi) tapi tak uar-uarkan kepada orang ramai.
"Tapi ikut juga situasi. Maknanya, kalau kita lihat banyak parkir atau petak kosong di dalam hospital dan mereka masih parkir di luar, kita akan saman," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Pra Pelancaran Tasik Cermin Eco Park Ipoh yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rumaizi berkata, antara penyelesaian jangka pendek bagi isu kekurangan tapak parkir hospital ialah dengan memberi diskaun pembayaran saman lebih 70 peratus.
"Buat masa ini memang kebanyakan saman (parkir) kita bagi diskaun lebih 70 peratus. Tetapi kita bertoleransi, tak akan saman sewenang-wenangnya," katanya lagi.
Sementara itu, Nolee Ashilin menambah, kerajaan negeri sedang memperhalusi isu tersebut yang masih berlarutan sehingga kini.
"Perkara ini telah dibawa dalam Mesyuarat Exco. InsyaAllah, saya difahamkan, Menteri Besar akan membuat satu pengumuman berkenaan parkir sedia ada, iaitu bangunan baharu.
"Mungkin kita boleh lihat semula kegunaannya bagi memastikan orang ramai tidak parkir di tepi jalan. Buat masa ini, memang MBI ambil pendekatan toleransi daripada segi saman," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan rungutan dan keluhan orang ramai berhubung isu parkir bertingkat di bangunan baharu HRPB yang mendapat perhatian Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri menerusi Exco akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi mencari punca dan menyelesaikan masalah tersebut.