Isu Panorama Tambun Perdana: Bincang alternatif selesaikan isu pusingan U
Aida Aziz
Mac 24, 2023 09:00 MYT
Mac 24, 2023 09:00 MYT
IPOH: Perbincangan akan dibuat bagi mencari alternatif sebagai penyelesaian jangka pendek berhubung isu pusingan U berisiko di laluan berdekatan Panorama Tambun Perdana di sini.
Menurut Penolong Kejuruteraan Infra Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Azman Harun, pihaknya mengambil maklum rungutan orang ramai yang berdepan dengan isu itu khususnya ketika waktu puncak, iaitu pagi dan petang.
Katanya, pihaknya ketika ini sedang melihat beberapa penambahbaikan untuk penduduk agar dapat menggunakan alternatif membuat pusingan U di lokasi berkenaan.
"Jalan ini sebenarnya masih lagi dalam kerja pembinaan, jadi memang kita maklum (isu pusingan U).
“Cuma, sekarang apabila dalam tempoh kerja-kerja pembinaan ini (kesesakan dan jauh) memang kita kena hadapi.
"Bagaimanapun, dalam masa terdekat ini kita akan berbincang juga apa ruang yang ada bagi memudahkan penduduk untuk membuat pusingan U di situ," katanya kepada pemberita ketika ditemui baru-baru ini.
Azman berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa pusingan U yang sedang dalam proses pembinaan nanti lebih selamat untuk digunakan penduduk.
"Kalau ikutkan sekarang ini, untuk keselamatan memang kita benarkan buat pusingan U jauh sedikit ke hadapan, sampai ke Pekan Tambun, buat sementara waktu.
"Tetapi apabila pusingan U sebenar itu siap, ia lebih selamat kepada penduduk," katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, keseluruhan projek pembinaan di kawasan itu yang bermula April tahun lalu dijangka siap bulan September tahun ini.
"Isu ini memang sementara, sebab tempoh kerja pembinaan dan dijangka siap bulan September ini. Jadi apabila siap mungkin tiada masalah.
"Kita sudah berbincang dan laporkan dengan kontraktor, jadi saya rasa dalam masa terdekat ini saya minta penyelesaian apa yang mereka boleh buat berhubung isu (pusingan U) ini,“ katanya.
Sebelum ini media melaporkan, isu jalan sesak yang dihadapi setiap hari oleh penduduk kawasan perumahan Panorama Tambun Perdana menimbulkan kekusutan apabila memandu keluar dari rumah.
Kawasan kejiranan ini meliputi lokasi kejiranan mewah yang dibangunkan Keris Property Development, Dales & Manor Born dan Skyhome Apartment.
Situasi yang berlaku ini disebabkan perubahan aliran trafik yang tidak membenarkan penduduk di kawasan ini membelok masuk ke taman perumahan tersebut.
Tahun lalu, MBI dan Sunway City Ipoh Sdn Bhd memulakan kerjasama projek naik taraf Jalan Tambun dengan kos RM16.35 juta.
Kos tersebut melibatkan pembinaan jalan raya, pengambilan tanah dan pelantikan jurutera perunding.
Projek ini bermula dari persimpangan masuk Jalan Persekutuan 240 (Ampang – Jelapang) ke persimpangan lampu isyarat Taman Perpaduan, kira-kira 5.2 kilometer jauhnya.
Ia bagi menggantikan lima persimpangan lampu isyarat sedia ada dengan lorong pusingan U di tiga lokasi dan penurapan jalan, pemasangan kemudahan keselamatan jalan raya serta menaik taraf sistem perparitan.