Isu Pangsapuri Harmoni 1: Tiada kepala surat, pemaju perlu bersikap profesional - Exco

Hilmi Malik
Mac 21, 2023 20:51 MYT
Setiap urusan rasmi perlu ada kepala surat dan itu lebih dilihat berintegriti - Rodziah Ismail
SUBANG JAYA : Syarikat pemaju yang terkait dengan kemelut projek perumahan Pangsapuri Harmoni 1, Putra Heights seharusnya bersikap lebih profesional dalam berdepan dengan isu yang dibangkitkan penduduk.
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata, ini termasuk soal kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini yang tidak mempunyai sebarang kepala surat.
“Pada saya kita ini bukan surat layanglah… sepatutnya surat-surat rasmi semua mesti dibuat secara rasmi yang mengguna pakai apa jua status sama ada syarikat atau persendirian perlu ada kepala surat, itu dilihat lebih berintegriti,” katanya ketika ditemui sewaktu lawatan ke Pangsapuri Harmoni 1 pada Selasa.
Sebelum ini, Astro AWANI menerima dua kenyataan balas daripada pihak pemaju bagaimanapun ia tidak mempunyai sebarang kepala surat bagi mewakili pihak tertentu.
Kenyataan itu juga telah mengemukakan janji-janji serta tindakan yang akan diambil pihak pemaju berhubung segala permasalahan yang telah disuarakan penduduk.
Dalam pada itu, penduduk juga menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak rasmi serta menimbulkan keraguan terhadap segala tindakan serta janji yang akan ditunaikan pihak pemaju.
Dalam pada itu, Astro AWANI juga telah berusaha untuk mendapatkan pihak pemaju secara bersemuka untuk menjelaskan segala isu yang timbul namun usaha itu juga gagal sehingga hari ini meskipun perkara tersebut telah dibawa hingga ke peringkat tertinggi.
Astro AWANI baru-baru ini telah membawakan siri Laporan Khas bertajuk ‘Pemaju Kayangan, Rumah Cap Ayam’ yang membawa keluhan penduduk yang tidak berpuas hati mengenai soal kualiti projek perumahan tersebut.
Ini termasuk kos penyelenggaraan yang tidak setimpal dengan hasil diterima mereka selain mendakwa tiada sebarang fasiliti yang bersesuaian disediakan kepada pembeli.
BACA: [LAPORAN KHAS] Pemaju kayangan, rumah 'cap ayam?'
BACA: Isu Pangsapuri Harmoni 1: Kerajaan Selangor mahu pemaju bertanggungjawab
BACA: Isu Pangsapuri Harmoni 1: Pemaju janji, tetapi tiada kepala surat
#Rodziah Ismail #Pangsapuri Harmoni 1 #putra height #pemaju perumahan
;