Isu Pangsapuri Harmoni 1: Exco tegur pemaju kayangan, baiki kaedah pembuatan

Hilmi Malik
Mac 21, 2023 21:55 MYT
Kerajaan Selangor telah arahkan tindakan segera terhadap isu perumahan Pangsapuri Harmoni 1, Putra Height.
SUBANG JAYA : Kepincangan projek perumahan Pangsapuri Harmoni 1, Putra Heights yang dibangunkan syarikat pemaju ternama akan diatasi secepat mungkin.
Perkara itu juga diputuskan setelah lawatan yang dibuat Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail serta pihak yang terlibat.
Kunjungan itu juga antara lain bagi membincangkan isu berbangkit yang disuarakan penduduk sebelum ini selain turut dihadiri pihak pemaju.
Menurut Rodziah, pihaknya juga telah mengeluarkan arahan kepada syarikat pemaju tersebut untuk melaksanakan pelan jangka panjang dan pendek.
“Yang paling penting kaedah pembuatan itu perlu diperbetulkan dan perlu ada beberapa pelan jangka pendek dan panjang. Misalnya isu saluran air yang bertakung dan sebagainya saya minta mereka (pemaju) untuk selesaikan cepat.
“Ada beberapa isu yang telah diketengahkan dan adakalanya apa yang dibangkitkan oleh penduduk ada logiknya yang memerlukan perhatian pihak pemaju.
“Saya harap kerjasama ini berterusan dan apa yang lebih penting masalah ini mestiklah diambil tindakan dan bukan hanya dengan kata-kata… perlu dikotakan dengan perbuatan,” katanya ketika lawatan di projek Pangsapuri Harmoni 1 pada Selasa.
Mengulas lanjut, Rodziah sekali lagi mengulangi penegasannya agar setiap pemaju mengambil tanggungjawab penuh terhadap segala aduan yang dikemukan pihak pembeli.
“Bukan hanya merujuk kepada kes ini, saya harap pemaju lain pun ambil tanggungjawab dan kualiti rumah perlu dibuat seperti yang ditetapkan.
“Pihak yang terlibat juga ambil perhatian terhadap segala aduan, saya harap pegawai berkenaan ‘turun padang’ dan lihat sendiri isu seumpama ini,” katanya lagi.
Selain itu, perbincangan tersebut antara lain menyentuh mengenai isu kos penyelenggaraan RM212 yang dianggap agak tinggi dan memerlukan penilaian semula.
Perkara itu juga mengambil kira dakwaan penduduk terhadap soal fasiliti yang dianggap tidak setimpal kos bulanan mereka.
Dalam pada itu, penduduk menerusi pertemuan tersebut turut melakukan penyerahan memorandum berhubung isu yang dibangkitkan selama ini agar ia mampu memberi situasi menang-menang untuk semua pihak.
Sebelum ini, Astro AWANI telah membawakan siri Laporan Khas bertajuk ‘Pemaju Kayangan, Rumah Cap Ayam’ yang mencetuskan kemarahan penduduk berhubung isu kualiti projek perumahan tersebut.
Exco tegur pemaju kayangan, perbetulkan kaedah pembuatan
BACA: [LAPORAN KHAS] Pemaju kayangan, rumah 'cap ayam?'
BACA: Isu Pangsapuri Harmoni 1: Kerajaan Selangor mahu pemaju bertanggungjawab
BACA: Isu Pangsapuri Harmoni 1: Pemaju janji, tetapi tiada kepala surat
#Rodziah Ismail #Pangsapuri Harmoni 1 #putra height #pemaju perumahan
;