Isu Palestin: PM Anwar pilih pertahan prinsip berbanding takut pelaburan terjejas
Firdaus Azil
Mei 1, 2024 22:03 MYT
Mei 1, 2024 22:03 MYT
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui usaha menarik dan merealisasikan pelaburan bernilai tinggi masuk ke negara ini bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi ia sesuatu yang amat penting bagi meningkatkan ekonomi negara.
Tetapi katanya, jika usaha menarik pelaburan dengan pihak atau negara tertentu dilihat bercanggah dengan prinsip kemanusiaan, maka beliau lebih memilih untuk ‘rugi’.
Perdana Menteri berkata, sebagai contoh, keputusan beliau untuk melarang kapal milik syarikat yang berpangkalan di Israel, iaitu ZIM, untuk berlabuh di mana-mana pelabuhan negara pada Disember lepas, telah mengakibatkan Malaysia kerugian sekitar RM60 juta.
“Kadang-kala dalam menetapkan dasar dan prinsip, soal nilai itu penting. Sebab itu dalam era MADANI, soal nilai apakah ia baik atau tidak. Keputusan kita umpamanya menghalang kemasukan kapal Israel yang diizinkan oleh negara ini sejak 2002, dan semua kerajaan berikutnya.
“Tapi bila saya dapat maklumat, saya hentikan. Dalam tempoh serta-merta kita rugi RM60 juta. Tetapi apakah kita boleh teruskan, melayani seolah satu negara yang zalim membunuh puluhan ribu rakyat kerana keuntungan, sedikit atau banyak? Jadi saya pilih pertahankan prinsip,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan sama ada ketegasan Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin akan menggugat peluang negara untuk menarik pelaburan bernilai tinggi ke negara ini.
Anwar berkata, sementara negara terus tegas dalam hal tersebut, beliau dan kerajaan harus menyantuni negara-negara lain dan berkerjasama dalam bidang yang membawa manfaat kepada ekonomi negara.
Pada Disember lepas, Anwar berkata keputusan sekatan terhadap syarikat Israel tersebut adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.
Sementara itu, dalam program yang dikendalikan empat hos iaitu Sayed Munawar Sayed Mustar (RTM), Azaria Tagaya (Media Prima), Dzulfitri Yusop (Astro AWANI) dan Pasha Rahim (Bernama TV) itu, Perdana Menteri berkata, hubungan dengan Amerika Syarikat juga sedikit terjejas kerana pendirian Malaysia.
“Dengan Amerika Syarikat kita masih ada hubungan walaupun mungkin tidak semesra dahulu. Bagi kita, kita menyatakan dia sahabat, tetapi prinsip dan nyawa tidak boleh dikorbankan. Ini bukan zaman penjajahan dulu, penjajah dulu dia datang menjajah, dia bunuh apa pun orang boleh terima sistem itu. Sekarang tidak boleh.
“Saya rasa bangga, bukan saja negara Arab dan negara Islam, negara-negara lain sudah mula bersama dalam hal sedemikian. Sebab itu kita bicarakan tentang Global South, satu pakatan golongan negara-negara Selatan untuk menyatakan sikap.
“Kalau tak, dirempuh terus, bincang WTO, bincang COP28, semua itu kita nampak macam tertekan, Jadi sebab itu bagi saya, merumuskan hal ini, ini tambah meyakinkan saya bahawa negara mesti diurus dengan baik, kekuatan dalaman akan tentukan kita dihormati atau berjaya. Kekuatan tak boleh rapuh. Ekonomi diberi tumpuan dan rakyat mesti berfikir ke depan,” jelasnya.