Isu Palestin: Pendirian Malaysia konsisten - PM Anwar
Astro Awani
September 9, 2024 22:38 MYT
September 9, 2024 22:38 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan rakyat Malaysia konsisten dalam menyatakan pendirian serta sokongan tidak berbelah bahagi supaya kekejaman terhadap penduduk Palestin dihentikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sebahagian besar negara sudah pun membangkitkan isu berkenaan.
"Kita tidak boleh membenarkan Israel dan sekutunya untuk terus melakukan pembunuhan di Palestin.
"Jadi saya rasa kedudukan kita (Malaysia) adalah sangat jelas. Adalah memalukan untuk masyarakat antarabangsa terutamanya negara yang bercakap mengenai demokrasi dan hak asasi manusia untuk tidak mengendahkan fakta ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu kekejaman di Palestin yang memasuki bulan ke-12, Sabtu lalu selepas menghadiri Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di KL Sentral, di sini, pada Isnin.
Jumlah keseluruhan kematian mencecah 40,939 orang manakala 94,616 lagi cedera sejak 7 Oktober tahun lalu.
Israel meneruskan serangan kejamnya di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa gencatan senjata segera.