Isu Palestin: MAPIM harap kerajaan desak OIC lebih tegas
Bernama
Oktober 20, 2023 21:42 MYT
Oktober 20, 2023 21:42 MYT
IPOH: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berharap kerajaan menggunakan kedudukan sedia ada bagi menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar lebih tegas, berani serta berprinsip dalam menangani isu kekejaman Israel di Semenanjung Gaza.
Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Malaysia boleh menggunakan pentas OIC bagi mendesak badan itu agar mengambil tindakan segera daripada sekadar melontarkan kecaman.
Mohd Azmi berkata sudah tiba masanya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil membawa suara Malaysia melalui hubungan antarabangsa beliau yang baik dengan negara anggota OIC.
"Malaysia perlu bersuara tegas secara kolektif, mengadakan pertemuan dan rundingan sesama pemimpin negara Islam supaya suara OIC yang ketika ini dilihat lemah dapat digembleng habis-habisan agar dapat diterjemah melalui impak kuat untuk mengasingkan serta menekan Israel secara maksimum," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian di Majlis Penerangan Keadaan Gaza-Palestin Terkini di Masjid Sultan Idris Shah II di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia Dr Sharif Amin Abu Shamalla.
Mohd Azmi berkata MAPIM berpendapat bahawa pendekatan baharu perlu diambil secepat mungkin supaya kekejaman Israel di bumi Gaza dapat dihentikan segera.
"OIC mempunyai 57 keahlian dan Malaysia perlu cuba untuk memimpin negara OIC untuk menggerakkan negara Islam segera menghantar bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
"Selain itu, kerajaan disaran memilih beberapa negara penting seperti Indonesia, Iran, Pakistan, Turkiye, Kuwait, Mesir dan Arab Saudi duduk semeja agar digembleng dalam usaha membantu Gaza dan Anwar dilihat boleh melakukan perkara tersebut," katanya.
Beliau berkata MAPIM turut menyarankan agar kerajaan menyuarakan pendirian bagi mendesak semua negara anggota OIC melancarkan tekanan politik antarabangsa terhadap Israel.
Mohd Azmi berkata OIC juga perlu menamatkan perdagangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan Israel manakala Arab Saudi khususnya disaran agar tidak meneruskan rundingan normalisasi dengan itu.
"MAPIM juga berharap Mesir tidak tunduk kepada Israel dan membuka sempadan Rafah untuk memberi laluan kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa segera sampai ke Gaza," katanya.
Terdahulu, para pemimpin ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) berhimpun buat julung kalinya di sidang kemuncak bersejarah kedua-dua blok di Riyadh, Arab Saudi yang menyaksikan Anwar menggesa masyarakat antarabangsa agar menoktahkan layanan kejam serta sikap hipokrasi secara terang-terangan terhadap rakyat Palestin.
-- BERNAMA