Isu Palestin: 'Malulah kita tidak nyatakan pendirian di Parlimen' - Wan Ahmad Fayhsal

Ridauddin Daud
Oktober 31, 2023 12:32 MYT
Wan Ahmad Fayhsal berkata, parti itu berpendapat perlu ada satu usul yang jelas mengecam perkara yang berlaku sebagai "jenayah perang". -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mahu Parlimen Malaysia menyatakan pendirian tegas terhadap konflik yang sedang berlaku di Palestin pada masa kini.
Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, parti itu berpendapat perlu ada satu usul yang jelas mengecam perkara yang berlaku sebagai "jenayah perang".
Tambahnya, perkataan itu belum diungkapkan secara jelas di Parlimen, malah menurutnya, yang ada kini hanyalah penerangan dan pemberitahuan.
“Kita tidak dengar lagi istilah terpacul dari mulut Perdana Menteri bahawa apa yang berlaku adalah jenayah perang kerana ia ada kesan yang besar dari segi undang-undang.
“Jadi kita nak itu keluar daripada Parlimen kita. Macam mana Presiden Erdogan cakap dalam himpunan, di Parlimen tentang Hamas.
“Jadi kita perlukan Parlimen ada pendirian yang kuat. Bagaimana Parlimen seperti Ireland, Sepanyol dan Brazil dan banyak negara barat.
“Malulah kita di Malaysia tidak menyatakan pendirian di Parlimen.
"Parlimen adalah satu institusi, bukan sekadar penerangan…itu yang kami maksudkan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan sendiri membawa usul tersebut dan Ahli Parlimen dari pembangkang akan menyatakan sokongan terhadap usul itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media di bangunan Parlimen pada Selasa.
#Wan Ahmad Fayhsal #PN #Hamas #Palestin #Gaza
;