Isu Palestin: Karim, Alexander bersemuka tangani perbezaan
Rudi Affendi Khalik
November 17, 2023 05:26 MYT
November 17, 2023 05:26 MYT
KUCHING: “Saya dan Datuk Seri Alex (Alexander Nanta Linggi) seperti adik-beradik. Jika ada yang berhasrat untuk melaga-lagakan kami, ia tidak akan berlaku.
“Kami malah melihat parti PBB (Pesaka Bumiputera Bersatu) lebih besar daripada kami sendiri.”
Demikian penegasan Naib Presiden PBB Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mengulas kemelut yang dikatakan berlaku antara beliau dan Setiausaha Agung PBB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Ia berhubung cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa melarang rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan Israel daripada dibawa masuk ke Sarawak.
Kedua-dua pihak sebelum ini dilihat seolah-olah berbalah, apabila Alexander dilihat menyokong pendirian yang dikemukakan NGO dan ahli politik pembangkang itu.
Tanpa menyebut nama, Abdul Karim sebaliknya menegaskan, sebagai menteri persekutuan, seseorang itu perlu menunggu pendirian rasmi kerajaan berhubung isu tersebut.
Dalam pertemuan enam mata di kediaman Alexander yang turut dihadiri Timbalan Setiausaha Agung PBB Datuk Ibrahim Baki, Alexander menyatakan bahawa kedua-dua pihak sebelum ini telah memberi pandangan bernas, sesuai dengan perbincangan serius isu tersebut.
“ Akan tetapi, apabila ia meletup seperti ini, sudah tentu kita tidak mahu ia menjadi semakin buruk.
“Dan kami tidak bermaksud untuk memburukkan sesiapa… kerana Abdul Karim dan saya merupakan saudara akrab dalam PBB.
“Apa yang penting bagi kami adalah untuk memastikan keharmonian yang wujud di negeri dan parti ini sentiasa dilindungi (justeru tidak terjejas oleh isu ini).
Oleh itu, kata Alexander, apa yang terjadi ini tidak akan menjadi isu besar sebaliknya masing-masing bersuara demi kepentingan Sarawak.
Susulan pertemuan itu, kedua-duanya dilihat bergambar bersama, sambil pada sebelah malamnya, menghadiri satu majlis bersama.
Difahamkan, Abdul Karim akan melawat Kapit pada 3 dan 4 Dis depan bagi meraikan sambutan Hari Belia.