Isu Palestin-Israel: Malaysia, Indonesia dan Brunei gesa sidang tergempar PBB diadakan

Astro Awani
Mei 16, 2021 19:36 MYT
Perkara itu dicapai oleh ketiga-tiga pemimpin negara yang mahu sebuah resolusi keamanan dicapai bagi memastikan kekejaman yang menimpa rakyat Palestin ketika ini dapat dihentikan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Malaysia, Indonesia dan Brunei menggesa agar satu sidang tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan segera bagi menangani isu keganasan melampau rejim Israel ke atas rakyat Palestin.
Gesaan dibuat menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Indonesia, Joko Widodo serta Sultan dan Yang Di-Pertuan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini.
Ketiga-tiga pemimpin negara itu mahu sebuah resolusi keamanan dicapai bagi memastikan kekejaman yang menimpa rakyat Palestin ketika ini dapat dihentikan.
Mereka turut menuntut pihak berkepentingan untuk melaksanakan gencatan senjata serta menerima penglibatan pemantau antarabangsa di bandar Al-Quds, Palestin untuk memastikan gencatan itu dipatuhi.
"Kami menggesa komuniti antarabangsa untuk kekal dengan komitmen supaya penyelesaian dua negara (two-state solution) dilaksana dalam mencapai negara Palestin yang merdeka, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.
"Kami mengulangi solidariti dan komitmen kepada rakyat Palestin, termasuk hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan membentuk negara Palestin yang merdeka dan berdaulat," memetik kenyataan tersebut.
Ketiga-tiga pemimpin turut menyokong segala usaha antarabangsa yang terarah kepada perdamaian yang panjang di Asia Barat berdasarkan Resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa serta undang-undang antarabangsa.
Pada masa sama, para pemimpin tiga negara itu turut membidas tindakan kejam Israel yang secara jelas melanggar hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.
Mereka menyifatkan tindakan Israel itu adalah tidak berperikemanusiaan, bersifat penjajah dan ibarat pemerintahan aparteid.
"Maka, pentingnya tindakan segera dan kolektif dilakukan bagi memastikan tindakan sewajarnya terhadap pelaku," memetik kenyataan itu lagi.
#PBB #Palestin #Israel #perhimpunan #keganasan #Malaysia #Brunei #Indonesia #Muhyiddin #Joko Widodo
;