Isu Palestin: Dr Mahathir disaran desak PBB adakan sidang khas

Bernama
Jun 1, 2018 10:23 MYT
MOHD AZMI: Pendirian Dr Mahathir berhubung isu Palestin sebelum ini telah diiktiraf dunia dan beliau yakin pengaruh perdana menteri itu masih kuat sehingga kini. - Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disaran mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan persidangan khas bagi membincangkan kekejaman rejim zionis terhadap rakyat Palestin.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pendirian Dr Mahathir berhubung isu Palestin sebelum ini telah diiktiraf dunia dan justeru beliau yakin pengaruh Perdana Menteri itu masih kuat sehingga kini.
"Saya kira Tun Dr Mahathir boleh menjadi suara bukan sahaja untuk umat Islam tetapi juga suara kemanusiaan, beliau telah mengemukakan banyak pendirian (berhubung isu Palestin) ketika beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
"Kita lihat PBB nampak berlengah dan selalu beralasan tidak boleh buat apa-apa sedangkan Israel telah melakukan jenayah selama 70 tahun, semua laporan berkenaan Israel amalkan dasar apartheid sudah jelas, serangan di Gaza dan penafian hak asasi rakyat Palestin juga sudah jelas. Sebab itu kita berpendapat Malaysia harus ambil inisiatif untuk menyoal kewibawaan PBB dalam hal ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi dan Presiden Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) Abdul Ghani Samsudin.
--BERNAMA
#Israel #Mahathir Mohamad #Malaysia #MAPIM #Palestin #PBB #Perdana Menteri #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu