Isu pak cik gelang 'pink' isi minyak, janganlah cepat melatah - KP Melaka
Shuhada Abdul Kadir
Januari 25, 2021 12:11 MYT
Januari 25, 2021 12:11 MYT
AYER KEROH: Tindakan orang ramai menularkan sesuatu yang tidak pasti sehingga mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat berhubung penularan pandemik COVID-19, hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, sebaliknya orang ramai perlu merujuk kepada pihak berkuasa samada pihak polis ataupun Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu.
“Semua maklum rakyat ketika ini bimbang dengan peningkatan kes COVID-19 dan walaupun kita cuma menunjukkan bahawa kita peka dengan wabak itu, tidak sepatutnya sesuatu perkara ditularkan ke media sosial tanpa merujuk kepada pihak polis atau KKM.
“Langkah itu sebenarnya adalah tidak wajar bahkan mengganggu tugas pihak berkuasa dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Semalam, tular sekeping gambar memaparkan seorang warga emas berusia 69 tahun memakai gelang merah jambu sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah.
Menerusi tangkap layar yang tular di laman Facebook dan aplikasi Whatsapp itu, lelaki berkenaan didakwa sengaja keluar rumah untuk mengisi minyak sekali gus menimbulkan panik orang ramai mengenai tindakannya.
Abdul Majid bagaimanapun berkata, lelaki berkenaan bersama isteri dan anak perempuannya dalam perjalanan ke Hospital Alor Gajah untuk memotong gelang terbabit dan singgah di stesyen minyak sebelum mendapati gambarnya tular di media sosial.
“Kita kerja ikut peraturan, kes tular gelang pink ni kita dapati individu itu sudah habis tempoh kuarantin dan dalam perjalanan ke hospital untuk potong gelang pun.
“Warga emas yang ditularkan itu telah disahkan negatif dan orang ramai serta masyarakat tidak perlulah panik kerana tindakan itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan,” tambahnya lagi.
#Facebook
#KKM
#gelang pink
#pandemik
#COVID-19
#Gelang merah jambu
#Ketua Polis Melaka
#Abdul Majid Mohd Ali
#warga emas
#media sosial
#viral
#Tular
#Berita Astro AWANI
#berita Malaysia
#Alor Gajah