Isu padam status FB: Kenapa awak "bodoh", Kit Siang? - Ismail Sabri

Astro Awani
Februari 5, 2015 18:02 MYT
ISMAIL SABRI: Isu dakwaan padam status FB: Kenapa awak bodoh sangat Kit Siang? - Gambar fail
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang disifatkan "bodoh" apabila membuat tuduhan melulu dan menuduh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memadamkan status Facebooknya yang menggesa supaya peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barangan diboikot.
Tegas Ismail Sabri, dia tidak pernah membuat sebarang status di laman Facebooknya mengenai isu kedegilan peniaga Cina itu tetapi hanya memberi komen di akaun orang lain.
"Bodoh Kit Siang ini, dia bercakap tanpa fakta.
"Saya tidak pernah buat 'posting' di dalam FB saya pun dan hanya komen 'posting' orang lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ismail Sabri mengulas dakwaan Kit Siang yang mempersoalkan tindakannya memadamkan status Facebooknya selain kini diraikan bagaikan wira, melebihi dari Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu kata Ismail Sabri, Kit Siang diminta menyiasat terlebih dahulu sebarang isu dengan teliti sebelum mengeluarkan kenyataan.
"Kini nampak kebodohannya sendiri. Kit Siang tuduh saya padamkan status di FB...sedangkan saya tidak buat status pun," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri menjelaskan hanya akan 'menghadap' polis untuk memberikan keterangan selepas selesai lawatan tiga hari Presiden Indonesia Joko Widodo di negara ini.
"Tunggulah selesai lawatan Jokowi ini, kemudian saya akan bagi keterangan," katanya.
Joko Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi, melakukan lawatan negara tiga hari ke Malaysia, bermula hari ini atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Ia merupakan lawatan sulung pemimpin itu ke Malaysia selepas dilantik sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober tahun lepas.
Pada Rabu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, jadual Ismail Sabri terlalu padat selain perlu menghadiri mesyuarat Kabinet.
Ismail Sabri difahamkan disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan masyarakat.
#Cina #DAP #Facebook #ismail #polis
;