Isu OPR tak wajar dipolitikkan, biar pakar buat keputusan - Wong Chen
Israr Khalid
Januari 13, 2023 11:15 MYT
Januari 13, 2023 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berpendapat bahawa kita perlu melihat apa sebenarnya isu di sebalik keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Jelasnya, ia dibuat untuk mengekang kenaikan inflasi dengan langkah menstabilkan ekonomi ketika wujud ketidakseimbangan di antara permintaan dengan bekalan dalam pasaran.
Bagi Wong Chen, OPR akan meningkat lagi untuk beberapa bulan akan datang dan ia lebih kepada mengawal kos barang makanan.
“Kita di Malaysia subsidinya kuat bagi industri minyak dan gas serta barang makanan seperti minyak masak sawit, gandum dan beras - semua subsidi ini membantu.
"Tapi kita import makanan ini besar sekali, lebih kurang RM50 bilion ke RM60 bilion, dan impak utama import ini adalah mata wang (yang dibanding dengan dolar Amerika Syarikat).
“Jadi saya rasa OPR yang dinaikkan ini tujuan utamanya ialah untuk isu tentang mata wang dan bukannya secara terus tentang inflasi.
"Ia secara tidak langsung untuk menangani inflasi melalui mekanisme mata wang,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Begitupun, beliau merasakan bahawa sungguhpun inflasi meningkat, ia masih pada paras yang terkawal di bawah kurang lebih lima peratus.
Maka kata Wong Chen, BNM punyai wibawa untuk membuat keputusan dalam isu OPR, kerana ia perkara yang teknikal.
Maka, tambahnya, ia wajar diserahkan kepada pakar-pakar ekonomi dan kewangan di BNM untuk membuat keputusan yang perlu demi kebaikan kepada negara.
“Polisi kewangan ini sebaiknya jangan dipolitikkan dan kita beri sepenuh perhatian dan mandat kepada BNM untuk melakukan yang terbaik.”