Isu Norizam bersama FAM, MFL selesai
Bernama
Januari 22, 2021 07:06 MYT
Januari 22, 2021 07:06 MYT
KUALA LUMPUR: Pertikaman lidah antara pemilik kelab bola sepak Kelantan (Kelantan FC) Norizam Tukiman dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akhirnya selesai menerusi satu pertemuan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
FAM dalam hantaran terbaharu menerusi laman Facebooknya semalam, memaklumkan pertemuan lebih sejam itu dihadiri Timbalan Presidennya Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam, Norizam serta wakil Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diketuai naib presidennya, Ahmad Muzakkir Hamid.
Perang mulut antara Norizam dengan FAM dan MFL sebelum ini dipercayai tercetus selepas terdapat laporan mendakwa Kelantan FC boleh dikenakan pemotongan tiga mata akibat masalah tunggakan gaji pemain, sekali gus menimbulkan tidak puas hati Norizam yang bertindak membidas badan induk bola sepak itu.
Stuart, bagaimanapun menafikan bahawa Kelantan FC bakal dipotong tiga mata.
Selain itu, Norizam turut dilapor membangkitkan beberapa isu termasuk bayaran hak penyiaran Liga Malaysia (Liga-M) serta elaun pengadil yang belum dibayar.
-- BERNAMA
#FAM
#KAFA
#bola sepak
#MFL
#gaji
#Persatuan Bola Sepak Malaysia
#Kelantan FC
#Norizam Tukiman
#perang mulut
#pemotongan tiga mata
#tunggakan gaji
#hak penyiaran
#Liga-M
#elaun pengadil
#pertikaman lidah