Isu Myanmar antara yang dibincangkan di Mesyuarat Menteri Luar ASEAN

Bernama
September 4, 2023 20:47 MYT
ZAMBRY: Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan tanpa kesan yang kuat kepada junta dan akan mengemukakan langkah yang seterusnya kepada pemimpin semasa sidang kemuncak nanti. - BERNAMA
JAKARTA: Menteri-menteri Luar ASEAN hari ini membincangkan Konsensus Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar yang tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana wujud halangan daripada pihak junta.
"Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan tanpa kesan yang kuat kepada junta dan akan mengemukakan langkah yang seterusnya kepada pemimpin semasa sidang kemuncak nanti," kata Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN, beliau berkata langkah-langkah baharu itu berdasarkan hasil tinjauan yang dilakukan semasa mesyuarat di sini.
Zambry turut menyertai Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Ke-27 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN Ke-34 (Mesyuarat ACC ke-34).
Serbia, Panama dan Kuwait telah menandatangani instrumen penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) di mesyuarat itu.
Selain melaporkan perkembangan terkini sidang kemuncak Majlis Kerjasama Asean-Teluk (GCC) di Riyad, Arab Saudi pada Oktober, Zambry berkata menteri-menteri juga membincangkan kemajuan dalam membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penipuan pekerjaan.
"Kita menekankan peningkatan kerjasama di kalangan negara anggota terutamanya Kemboja, Filipina dan Thailand," katanya.
Menteri-menteri ASEAN turut mengesahkan draf Visi ASEAN Pasca-2025 yang menggerakkan ASEAN ke arah Visi ASEAN 2045 dan bakal dilancarkan di Malaysia sebagai pengerusi, yang menekankan peningkatan dalam proses membuat keputusan dan peraturan.
-- BERNAMA
#isu Myanmar #Mesyuarat Menteri Luar ASEAN #Zambry Abdul Kadir #Konsensus Lima Perkara
;