Isu MYAirline: Bayar tunggakan tiket, gaji sebelum bincang pelabur baharu - Loke

Fahmi Izuddin
Januari 12, 2024 11:10 MYT
MYAirline dilaporkan memperoleh dan menandatangani perjanjian jual beli dengan pelabur dari Timur Tengah pada akhir Disember 2023. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Syarikat penerbangan MYAirline harus mematuhi beberapa syarat besar yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan termasuk memulangkan semula pembelian tiket terdahulu kepada pelanggan.
Selain itu, gaji pekerja yang tertunggak juga harus diselesaikan sebelum memulakan proses perbincangan membawa masuk pelabur baharu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pihak kementerian akan bertemu syarikat itu hari ini bagi mendengar perincian perkara tersebut.
"Keutamaan kami adalah, apa pun permohonan yang mereka mahu lakukan termasuk memulakan semula operasi, mereka harus patuhi beberapa syarat.
"Pertama mereka harus berusaha untuk memulangkan kembali wang tempahan tiket terdahulu. Kedua, apa jua tunggakan bayaran kepada tenaga kerja harus diselesaikan.
"Jika mereka boleh penuhi dua syarat ini, baru kita boleh berbincang. Tanpa dua perkara ini, kami tidak akan berkompromi.
"Ketiga adalah berkaitan keselamatan dan permohonan mereka harus mengikut prosedur sedia ada," katanya pada sidang media khas pengumuman jadual penerbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan MYAirline Sdn Bhd memperoleh dan menandatangani perjanjian jual beli dengan pelabur dari Timur Tengah pada akhir Disember 2023.
Laporan Bernama yang memetik sumber berkata MYAirline boleh melaksanakan usaha pada masa ini bagi menyambung semula operasi menjelang pertengahan tahun ini.
Memandangkan kini terdapat pelabur baharu, syarikat penerbangan itu dipercayai telah memohon kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) bersyarat, seterusnya Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum menerima ASL sepenuhnya untuk beroperasi.
#MYAirline #syarikat penerbangan #Anthony Loke #Menteri Pengangkutan
;