Isu monopoli beras: Tiada niat roboh empayar Syed Mokhtar, jangan politikkan - PM
Astro Awani
Disember 6, 2022 13:53 MYT
Disember 6, 2022 13:53 MYT
PUTRAJAYA: Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary agar mengurangkan tindakan memonopoli beras dalam negara dengan menyalurkan peruntukan RM60 juta kepada pesawah miskin bukanlah untuk merobohkan empayar beliau.
Sebaliknya, Perdana Menteri menjelaskan, usaha itu adalah untuk menjaga kepentingan dan pesawah miskin di negara ini.
Justeru beliau berharap isu tersebut tidak wajar dipolitikkan.
"Saya akan berunding semula dengan Kementerian Kewangan bagaimana Padiberas Nasional Bhd (Bernas) boleh memberi jaminan keselesaan dan keadilan kepada pesawah padi yang miskin.
"Apa yang menjadi masalah sangat ini di negara kita? Apa yang nak dipolitikkan?
"Saya tak faham mengapa ini menjadi masalah. Sudah berpuluh tahun dah Bernas ini, ini kali pertama saya kata enough," katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Anwar hanya berani menegur Syed Mokhtar berbanding tokoh korporat terkaya di Malaysia yang lain kerana beliau Melayu dan mudah dibuli.
Pada masa yang sama, Anwar berkata, langkah yang diambilnya bersama Kementerian Kewangan adalah untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada golongan pesawah miskin termasuk di Kedah.
Beliau turut menjelaskan, Syed Mokhtar turut bersetuju dengan pendekatan itu yang membawa faedah yang lebih baik kepada pesawah miskin.
"Saya ucap terima kasih kepada dia tetapi saya kata untuk menjamin masa depan pesawah miskin saya ambil langkah untuk berunding dengan dia dan cuba bantu. Saya tidak ambil kelulusan tanpa berunding. Saya kenal dia," tambahnya.