Isu miskin bandar: Polisi dan program kerajaan perlu berkesan bantu golongan rentan - Pakar
Fareez Azman
Februari 1, 2023 17:41 MYT
Februari 1, 2023 17:41 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu merangka polisi dan program yang berkesan dalam membantu golongan miskin bandar menambahkan pendapatan mereka ketika dunia berdepan ekonomi mencabar tahun ini.
Menurut Penyelidik Kemiskinan, Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia, Profesor Madya Zumilah Zainalaludin, setiap program yang dilakukan selama ini perlu dinilai semula keberkesanannya dalam membantu golongan rentan itu.
"Dalam soal sebarang keberkesanan (program), kita panggil sebagai audit atau penilaian kepada polisi dasar program telah kita buat selama ini.
"Apakah yang kita telah buat itu berkesan? kalau tidak, kenapa? Jika berkesan, mengapa? Ini penting, sebab banyak dasar yang telah dibuat oleh negara.
"Bagaimanapun, ada di antaranya memerlukan penambahbaikan, ada satu kelompongan penilaian. Persoalannya apakah program selepas ini gagal atau berjaya? Kalau berjaya, berapa peratus kejayaan dan di manakah ruang perlu dibaik pulih?" soal Zumilah.
Beliau berkata demikian ketika diwawancara dalam slot Pantau Kerajaan Baharu terbitan Astro AWANI, pada Rabu.
Tambah Zumilah, pelbagai faktor menjadi punca kemiskinan bandar itu terus berlarutan terutama kos sara hidup yang meningkat disebabkan inflasi.
Selain tahap pendidikan, tegas beliau, terdapat pelbagai punca lain yang menyebabkan kemiskinan bandar berlaku.
"Dari segi penyelidikan faktor jelas dikatakan tahap pendidikan, status perkahwinan… masalah berkaitan dengan kemiskinan itu lebih besar.
"Cara mudah kita nak ukur, kita ambil RM4,500 (pendapatan isi rumah sebulan), kalau kita ambil satu pertiga RM1,500 secara purata untuk lima orang, RM300 orang perbelanjaan seorang sebulan.
"Jadi dalam sebulan RM10 sehari seorang untuk perbelanjaan makanan, itu mudah kita congak. Kalau makan di warung RM10 sehari, paling kurang tiga kali makan sarapan, tengah hari dan malam," jelas beliau.
Mengulas lanjut, tambah Zumilah, isu pendayaupayaan juga perlu diberi perhatian terutama kepada warga kota yang berhijrah dari kawasan luar bandar.
"Isu pendayaupayaan, kita kena daya upayakan mereka, kita lihat apakah mereka tidak berdaya, padahal mereka perlu lihat bandaraya merupakan lubuk peluang, kenapa mereka nampak sebaliknya?
"Jawapan paling mudah untuk golongan itu, mereka rentan, kumpulan rentan memerlukan program berbeza, kaedah berbeza, kalau mereka memang tidak boleh melibatkan diri peniagaan pendapatan.
"Kedua, kita lihat golongan kurang tahu tentang peluang, mereka ini siapa, contoh mereka berhijrah dari desa ke bandar," ujarnya lagi.
Justeru, program bersasar, jelasnya perlu diberi penekanan dalam membantu golongan terbabit.
"Saya percaya apa pun program dilakukan perlu bersasar, siapakah sasaran kita maksudkan, kerana kaedah A tidak berkesan untuk sasaran B, sebagai contoh.
"Kita perlu jelas, golongan rentan pun ada banyak kategori dan perbezaan," ujar Zumilah lagi.