Isu menu RMT: KPM tidak berkompromi, siasatan sedang dijalankan - Radzi

Bernama
Januari 20, 2022 12:29 MYT
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata beliau telah mengarahkan supaya sekolah terlibat dikenal pasti. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan mengenai menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang didakwa hanya menyediakan nasi putih dan kuah kepada murid-murid sekolah seperti ditularkan di media sosial.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata beliau turut mengarahkan supaya sekolah terlibat dikenal pasti.
"Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah arahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenal pasti sekolah yang terlibat. KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid," katanya dalam catatan di akaun Facebooknya.
Semalam, tular satu kiriman seorang pemilik Facebook berserta gambar yang dimuat naik sambil mendakwa cucu saudaranya hanya menerima menu RMT sedemikian.
Pemilik Facebook itu juga mempersoalkan sama ada peruntukan RMT terlalu sedikit sehingga pengusaha kantin menyediakan menu makanan tambahan sebegitu kepada murid-murid sekolah rendah.
-- BERNAMA
#menu RMT #nasi dan kuah #Kementerian Pendidikan #Radzi Jidin
;